Jumaat, 7 September 2018 | 7:11pm
MAZLAN Aliman (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Venture (FGV) Datuk Zakaria Arshad (empat kanan) bersama pekerja dan kakitangan FGV ditemui selepas sesi dialog isu penutupan kilang sawit di Felda Lepar Utara 4. - Foto Farizul Hafiz Awang

ANAK minta FELDA segera selesaikan hutang peneroka

JERANTUT: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) meminta pengurusan FELDA segera memuktamadkan penyata hutang 112,635 peneroka.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, perkara itu bagi membolehkan kerajaan menunaikan manifesto pilihan raya menghapuskan hutang tidak wajar peneroka, yang kini sudah melebihi tempoh 100 hari seperti dijanjikan.

“Isu ini mesti diselesaikan di peringkat pengurusan FELDA terlebih dahulu kerana kerajaan tidak dapat melaksanakannya jika peneroka masih tidak menerima penyata hutang dan penyata untung rugi.

“Apa yang mereka ada setakat ini hanya anggaran sahaja, bukanlah jumlah sebenar. Bagaimana kerajaan hendak mengumumkan jumlah penghapusan hutang jika ia belum dimuktamadkan.

“Ini adalah kerja FELDA dan mereka kena selesaikan perkara ini terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Dialog Isu Penutupan Kilang FELDA Lepar Utara 4 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Ventures Holdings (FGV), Datuk Zakaria Arshad dan wakil peneroka.

Mazlan berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan selama hampir tiga jam dengan pengurusan tertinggi FELDA termasuk Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Noor, dan Pengurus Besar, Datuk Ab Ghani Mohd Ali berhubung perkara itu.

“Namun, setelah hampir sebulan pertemuan itu diadakan, kami masih tidak menerima maklum balas daripada FELDA.

“Kami masih lagi melakukan tindakan susulan untuk mengetahui tindakan selanjutnya, jika tiada tindakan FELDA, saya tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya meminta Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengarahkan FELDA memuktamadkan segera isu hutang,” katanya.

Berhubung penutupan kilang Lepar Utara 4 yang dijangkakan dalam tempoh dua minggu, Mazlan berkata, pihaknya menuntut surat hitam putih mengenai persetujuan pengurusan FGV menampung kos perjalanan menghantar buah sawit ke kilang Lepar Utara 6 supaya tidak ditanggung peneroka.

Katanya, persetujuan juga membabitkan nilai kadar perahan gred yang akan ditentukan di kilang Lepar Utara 4 kerana bimbang nilainya akan berkurangan jika buah itu tidak dapat dihantar ke Lepar Utara 6 dengan segera.

“Kita faham dengan keputusan FGV untuk menutup kilang ini setelah beroperasi sejak tahun 1982 atas alasan mahu menjimatkan kos.

“Mereka juga memberi jaminan kilang Lepar Utara 6 boleh menampung peningkatan buah sawit dari FELDA Lepar 1, 2 dan 4, termasuk pada waktu puncak kerana meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang itu,” katanya.

Berikutan penutupan kilang Lepar Utara 4, seramai 25 kakitangan kilang itu bersetuju memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS), manakala selebihnya akan ditempatkan di kilang milik FGV berhampiran.

Berita Harian X