Jumaat, 7 September 2018 | 8:33pm
DATUK Dr Mujahid Yusof (tiga kiri) selepas melancarkan tagline ‘Rahmatan lil Alamin’ pada program siaran langsung istimewa sempena ulang tahun ke-8 TV Alhijrah di Alhijrah Big Studio, hari ini. Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Saidi Yaacob (dua, kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Mohamad S Ahmad (kiri). - Foto BERNAMA

'Rahmatan Lil Alamin' bukan berlembut dengan perbuatan mungkar

CYBERJAYA: Pengenalan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud kerajaan akan berlembut dengan perbuatan mungkar atau bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pengenalan konsep itu juga tidak bermakna kerajaan mengiktiraf perbuatan mungkar oleh orang Islam atau bagi meringankan hukuman ke atas perlakuan yang tidak selari dengan tuntutan agama.

“Ada pihak yang melihat konsep Rahmatan Lil Alamin sebagai pendekatan berlembut atau kononnya kita mengiktiraf pihak yang cuba menjatuhkan imej Islam. Itu tidak tepat dan tidak mungkin berlaku.

“Kita harus tahu bahawa ada perbezaan antara mengiktiraf dan menyantuni permasalahan golongan yang melakukan perkara mungkar. Dari situ, barulah kita dapat memahami pendekatan Rahmatan Lil Alamin atau rahmat ke seluruh alam yang dibawa Nabi Muhammad dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Rahmatan Lil Alamin terbitan stesen TV Alhijrah di sini, hari.

Mujahid berkata, beliau berpegang kepada prinsip yang diajar dan dipegang Rasulullah iaitu tidak mengambil sikap terus menghukum pesalah, sebaliknya mengambil langkah mengembalikan mereka yang tersesat ke jalan Allah dengan cara menyantuni dan mengingatkan mereka mengenai kesilapan yang dilakukan.

“(Persoalan berlembut) hanyalah masalah terminologi. Perbuatan mungkar memang kita tidak setuju tetapi pelaku mungkar kita kena rangkul dan menegur untuk memperbetulkan mereka secara hikmah,” katanya.

Katanya, antara cabaran dalam pelaksanaan konsep itu adalah beliau dan kerajaan dianggap sebagai liberal atau menafikan seruan Islam .

“Janganlah terlalu mudah mentafsirkan Rahmatan Lil Alamin sebagai mengiakan kemungkaran kerana kita tegas konsep itu juga tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada bagi mereka yang melakukan kesalahan,” katanya.

Pada majlis itu, Mujahid melancarkan slogan baharu TV Alhijrah iaitu ‘Rahmatan Lil Alamin’, yang menggantikan slogan ‘Rapatkan Saf’ yang digunakan stesen televisyen itu sejak 2016 sempena ulang tahun kelapan penubuhan stesen berkenaan.

Berita Harian X