Sabtu, 8 September 2018 | 12:43pm
GAMBAR fail, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik semasa sidang media berkaitan program matrikulasi KPM di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Jun lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Maszlee akan jumpa mahasiswa yang berdemonstrasi Rabu ini

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan menemui kumpulan mahasiswa yang mengadakan demonstrasi membantah pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di pejabat Kementerian Pendidikan pada Rabu ini.

Maszlee berkata, beliau memberi jaminan akan bertemu mahasiswa berkenaan secepat yang mungkin untuk mendengar sendiri pandangan mereka.

“​​Langkah itu diambil memandangkan saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan memprotes yang berkeras mahu bertemu dengan saya secara bersemuka serta-merta, dan menuruti segera tuntutan mereka agar meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM. Saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook dan Twitter rasminya, hari ini.

Pada awalnya, Maszlee berkata, beliau dimaklumkan kesemua mereka yang terlibat adalah pelajar, tetapi maklumat terperinci menunjukkan sebahagian adalah aktivis daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, sepanjang berada di kawasan Blok E8 kementerian, kumpulan berkenaan diberi layanan yang baik termasuk menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas lain serta mengambil maklum pandangan dan tuntutan mereka.

Maszlee berkata, pegawai kementerian turut memastikan kebajikan kumpulan berkenaan termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak polis di Putrajaya untuk membebaskan dua daripada mereka yang ditahan untuk disoal siasat.

Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan awal pagi tadi.

“Saya menghormati hak mereka untuk bersuara. Menghormati hak bersuara dan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu daripada lebih 40 inisiatif 100 hari pertama saya menerajui Kementerian Pendidikan,” katanya.

Maszlee turut memberi jaminan bahawa beliau amat prihatin dalam soal kebebasan untuk bersuara mahasiswa​​ ​​​​​dan autonomi universiti akan terus diperkasakan.

“Saya akan meneruskan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pemegang-pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM yang dikritik sesetengah pihak. -- BERNAMA

Berita Harian X