Sabtu, 8 September 2018 | 1:28pm
GAMBAR fail, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi ketika sidang media di MaTIC, Kuala Lumpur, Selasa lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Malaysia sasar antara 10 destinasi pelancongan dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia mensasarkan berada dalam kedudukan 10 destinasi pelancongan utama dunia menjelang 2019, berbanding kedudukan ke-12 yang direkodkan pada masa ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi, berkata kementerian akan merancang hala tuju strategik dan pendekatan baharu bagi menyediakan persekitaran lebih mesra kepada peserta industri.

“Bagi mencapai sasaran berkenaan, Malaysia perlu lebih berdaya saing untuk memacu pertumbuhan industri.

“Kerajaan melihat potensi besar dalam industri pelancongan dan akan memberi sokongan sepenuhnya apa yang diperlukan oleh industri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-46, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah.

Mohamaddin berkata, kementerian dan pihak berkaitan akan menjalankan usaha menjalankan promosi berterusan bagi menarik kedatangan pelancong luar ke Malaysia.

“Kita sedang merangka pelan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus ke destinasi menarik di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Mohamaddin berkata, kementerian juga mensasarkan kehadiran 26.4 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia tahun ini yang mampu meningkatkan pertumbuhan perbelanjaan sebanyak RM84.9 bilion.

“Industri pelancongan di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan membantu kepada pertumbuhan ekonomi yang baik.

“Pada tahun lalu, kita merekodkan sejumlah 25.9 juta kedatangan pelancong luar ke Malaysia dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM82.2 bilion,” katanya.

Pada Januari hingga April lalu, seramai 8.4 juta pelancong antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan dengan 37.2 peratus daripadanya terdiri daripada pelancong dari China; Kanada (28 peratus); Korea Selatan (26.5 peratus) dan Amerika Syarikat (23 peratus).

MATTA Fair yang diadakan selama dua hari bermula hari ini membabitkan penyertaan lebih 250 syarikat berkaitan pelancongan dan 1,336 pempamer.

Penganjuran kali ini mensasarkan lebih 100,000 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM220 juta. Selain itu, sebanyak RM1 daripada fi kemasukan (RM4) akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Berita Harian X