Ahad, 9 September 2018 | 3:37pm

Jenazah Abu Hassan selamat dikebumi

SHAH ALAM: Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di sini, sebentar tadi.

Jenazah dikebumikan kira-kira jam 2.50 petang tadi dengan kehadiran ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham.

Turut berkenan berangkat, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abu Hassan, 78, meninggal dunia kira-kira jam 8.05 malam tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham tidak sedarkan diri di rumahnya pada sebelah petang hari yang sama sebelum dibawa ke Columbia Asia Hospital di Bukit Rimau, Kota Kemuning.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Wan Nor Daud, empat anak, 15 cucu dan seorang cicit.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Selangor itu memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ke-12 daripada 6 Jun 1997 sehingga 9 Ogos 2000.

Tokoh politik dari UMNO itu dilantik bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Abu Hassan yang dilahirkan pada 15 September 1940 di Bukit Belimbing, Kuala Selangor itu juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor (1978–1997) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang (1997–1999).

Allahyarham turut pernah berkhidmat sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat (1985–1986), Menteri Wilayah Persekutuan (1986–1987), Menteri Luar (1987–1991) dan Menteri Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Domestik (1991–1997).

Sebelum menceburi politik, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbiran dan Diplomatik (ADO), Ketua Penolong Setiausaha Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Penolong Setiausaha Tanah dan Kementerian Pembangunan Wilayah Persekutuan.

Abu Hassan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Belimbing (1946–1950), Sekolah Tinggi Klang (1951–1957) dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (1958–1959) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di University of Hull, England.

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyiram air mawar pada pengebumian bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar di Makam Diraja Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Norashikin berangkat ke pengebumian bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar di Makam DiRaja Shah Alam. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X