Selasa, 11 September 2018 | 5:57pm
GUAN Eng pada sidang media selepas sesi taklimat SST di sebuah hotel di Bayan Lepas. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
GUAN Eng pada sidang media selepas sesi taklimat SST di sebuah hotel di Bayan Lepas. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Harga rumah di Pulau Pinang turun

GEORGETOWN: Kerajaan mengalu-alukan cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang yang menurunkan harga rumah di negeri itu susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata langkah REHDA Pulau Pinang yang menurunkan rumah di negeri itu antara enam hingga 10 peratus disifatkan bertepatan dengan inisiatif kerajaan memberi pengecualian SST bagi perkhidmatan pembinaan seperti diumumkan sebelum ini.

Selain itu, katanya, semua syarikat pemaju perumahan di seluruh negara dinasihat mencontohi REHDA Pulau Pinang dan mengambil langkah sama, sekali gus membantu lebih ramai penduduk memiliki rumah sendiri.

“Ini adalah langkah positif REHDA di negeri ini dan kita berharap mereka dapat memberi nasihat kepada ahli di seluruh negara untuk mengambil langkah serupa.

“Ini juga sebagai usaha membalas usaha kerajaan yang memberikan pengecualian cukai binaan yang mana harga rumah sepatutnya boleh turun.

“REHDA Pulau Pinang juga menunjukkan bahawa mereka adalah badan korporat bertanggungjawab kerana tak ambil kesempatan selepas menerima pelepasan cukai, sebaliknya menyalurkan semula kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Menteri Kewangan, Datuk Ooi Kok Seng dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, sekurang-kurangnya lima jenama kenderaan menyaksikan penurunan harga sehingga RM3,000 bagi model masing-masing, kesan daripada pelaksanaan SST.

“Penurunan ini membabitkan beberapa model kenderaan daripada jenama PERODUA, Honda, Toyota, BMW dan Volkswagen, selari dengan hasrat kerajaan bagi menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Saya dapat makluman ada beberapa jenis kenderaan yang harganya lebih murah selepas pelaksanaan SST dan memang hasrat kerajaan untuk mengawal harga menerusi pelaksanaan cukai ini,” katanya.

Terdahulu, Chin Leong mengumumkan, harga projek perumahan di Pulau Pinang yang bernilai RM300,000 ke atas akan diturunkan kepada 10 peratus, selari dengan pengecualian SST diberikan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, harga rumah mampu milik bernilai RM300,000 ke bawah pula akan mengalami penurunan kira-kira enam peratus dan terpakai kepada projek sedia ada atau projek baharu.

“Pemaju perumahan kini boleh menyerap kos itu selepas dikecualikan cukai selepas pelaksanaan SST yang mana cukai itu perlu dibayar ketika sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Kita juga mengalu-alukan pelaksanaan SST ini kerana di bawah GST, pemaju terpaksa menanggung kos tambahan yang ada daripadanya dan dipindahkan kepada pembeli.

“Bagaimanapun, menerusi SST, beberapa komponen cukai berkaitan pembinaan dikecualikan dan ini membolehkan kita menurunkan harga rumah,” katanya.

INFO
Antara model kenderaan yang lebih murah selepas pelaksanaan SST:

  • Perodua Axia – RM40,390 (-RM1,107)
  • MyVi 1.5 – RM54,090 (-RM1,210)
  • Honda Jazz 1.5 – RM83,633 (-RM1,117)
  • Toyota Vios – RM93,200 (-RM780)
  • Volkswagen Polo – RM74,900 (-RM1,988)
  • BMW 118i – RM185,800 (-RM3,000)
Berita Harian X