X
Rabu, 12 September 2018 | 11:12pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tujuh dari kiri) pada sesi sesi foto di majlis makan malam sambutan para peserta Persatuan Perjalanan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi malam ini. Turut hadir Naib Pengerusi PATA, Dr Chris Bottrill (lima dari kiri), Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (enam dari kiri), Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi (tujuh dari kanan) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (enam dari kanan). - Foto BERNAMA

Pembangunan pelancongan terus diberi perhatian - Wan Azizah

LANGKAWI: Pembangunan pelancongan akan terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandangkan sumbangan penting industri itu kepada ekonomi negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri menekankan, industri pelancongan menjadi penyumbang pertukaran asing kedua terbesar kepada negara dengan mencatatkan ketibaan 25.9 juta pelancong dan menjana pendapatan daripada pelancongan sebanyak RM82.2 bilion tahun lalu.

“Sumbangan pelancongan kepada ekonomi negara ialah kira-kira 15 peratus dan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 3.2 juta orang, meliputi 22.7 peratus daripada jumlah pengambilan tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam meraikan peserta Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) 2018 di sini malam ini.

Menurut beliau, faktor kejayaan bagi pelancongan di Malaysia antara lain disebabkan oleh kestabilan politik, mempunyai kemudahan bertaraf dunia, lokasi strategik, tarikan dan penginapan yang pelbagai, kadar pertukaran mata wang yang menguntungkan, layanan mesra serta makanan yang enak.

“Semua faktor ini mewujudkan persekitaran yang kondusif lagi menarik bukan saja bagi pelancong tetapi juga pelaburan perniagaan ke Malaysia,” kata beliau.

Tambah beliau, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah PATA Travel Mart selain acara antarabangsa lain yang sudah atau dijadual diadakan di sini akan memberi kesan besar dan nilai berganda kepada ekonomi negara.

“Tambahan pula, persidangan dan forum adalah pentas untuk pemindahan teknologi yang amat berharga sementara acara perdagangan seperti ini menggalakkan pembangunan industri menerusi peluang perniagaan,” katanya.

Kira-kira 2,500 anggota delegasi dari 60 negara mengambil bahagian dalam PATA Travel Mart tahun ini yang tertumpu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mahsuri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi serta Pengerusi PATA, Dr Chris Bottrill turut menghadiri acara itu. - BERNAMA

Berita Harian X