Isnin, 17 September 2018 | 2:17pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap ketika Program Memperkasa Komuniti Pengguna di Sekolah Menengah Kebangsaan Ken Hwa. - Foto Khairull Azry Bidin

Kekang peniaga kaut untung tak munasabah - TPM

KENINGAU: Timbalan Perdana Menteri mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempergiat usaha penguatkuasaan bagi mengekang sebarang kegiatan mengaut keuntungan yang tidak munasabah oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap sebarang salah laku supaya menjadi teladan kepada semua pihak untuk lebih beretika dalam urus niaga terutama selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Perlu diingatkan juga ialah peranan kita sebagai pengguna. Adalah penting untuk kita mengetahui hak dan peranan kita supaya tidak diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Pengguna harus memainkan peranan sebagai penentu harga barangan di pasaran. Ini boleh dilakukan sekiranya kita bijak merancang dan mengawal perbelanjaan.

“Berbelanjalah dengan bijak dan membeli apa yang perlu sahaja dan buatlah perbandingan harga sebelum melakukan sebarang pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasa Komuniti Pengguna sempena Sambutan Hari Malaysia 2018 yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Sekolah Menengah (SM) Ken Hwa, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM) ketika Program Memperkasa Komuniti Pengguna di Sekolah Menengah Kebangsaan Ken Hwa. Turut sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew (dua dari kiri), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kanan) dan Pengerusi PKKMM, Raymond Ahuar (kiri). - Foto Khairull Azry Bidin

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa pengguna menjadi Rakan KPDNHEP (Friends of KPDNHEP) untuk membantu penguat kuasa sebagai mata dan telinga dalam menyampaikan maklumat berkaitan salah laku peniaga.

“Pelbagai saluran aduan disediakan KPDNHEP untuk memudahkan kita menyampaikan maklumat dan yang terkini, boleh dipanjangkan kepada kementerian melalui aplikasi WhatsApp.

“Sememangnya bilangan pegawai kita terhad, oleh yang demikian saya menggesa pengguna membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan melalui saluran aduan yang disediakan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata KPDNHEP amat mengambil berat mengenai isu pengguna dan sentiasa berusaha memperkenalkan lebih banyak program yang dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

“Misalnya, melalui Program Food Bank Malaysia ia diharap dapat membantu pendapatan boleh guna kepada golongan B40 dan kurang berkemampuan di kawasan luar bandar seperti Keningau ini.

“Saya percaya Program Food Bank Malaysia akan menjadi titik permulaan untuk meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan. Saya juga mengesyorkan pasar raya, pengilang dan industri perhotelan untuk turut serta bersama menjayakan program ini,” katanya.

Program Food Bank Malaysia ini adalah inisiatif pihak seperti pasar raya yang memberi sumbangan bahan makanan dan diedarkan kepada golongan kurang bernasib baik.

Berita Harian X