Isnin, 17 September 2018 | 2:43pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pelantikan Maszlee bukan isu

ALOR SETAR: Pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diyakini mampu membawa institusi itu ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam meneruskan kegemilangan UIAM.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata pihaknya percaya pelantikan Maszlee tidak sepatutnya dilihat sebagai isu negatif atau perlu dipertikaikan kerana ia dibuat atas perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya melihat tidak ada isu besar dalam pelantikan ini walaupun ada pihak yang mempertikaikannya... beliau adalah orang ‘asal’ yang pernah berkhidmat dengan UIAM begitu lama, sekali gus tahu pergerakan dan selok-belok UIAM.

“Saya yakin dengan peranan beliau sebagai menteri dapat membantu UIAM ke tahap yang lebih tinggi... saya yakin beliau akan mampu membawa UIAM ke arah kegemilangan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM yang mendapat bantahan daripada mahasiswa universiti itu kerana dikatakan boleh mencetuskan konflik kepentingan.

Mengenai bantahan dibuat golongan mahasiswa itu, pihaknya menghargai kebebasan bersuara yang digalakkan kerajaan namun ia harus dilakukan dengan penuh integriti melalui forum bersesuaian.

“Kita harus melihat sesuatu isu dalam kaedah holistik bukannya negatif... kalau ia menguntungkan negara mengapa tidak... jangan gunakan forum tertentu untuk memberi input negatif. Kita menggalakkan pelajar untuk memberi input tetapi biarlah berhemah, ” katanya.

Terdahulu, melalui sidang media itu, Ahmad Bashawir menggariskan enam pembaharuan dalam UUM selaras dengan tema ‘menginsankan pendidikan’ termasuk menubuhkan Majlis Penasihat Naib Canselor yang dianggotai lima profesor kanan untuk membantu pembangunan universiti itu secara keseluruhannya.

Beliau berkata, lima profesor kanan itu ialah pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof Dr Zurni Omar; Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Holistik, Prof Dr Che Sobry Abdullah; Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof Dr Ku Rahana Ku Mahamud; Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof Dr Abdul Razak Chik dan Pengarah Pusat Asasi, Prof Dr Abd Razak Yaakub.

Katanya, selain itu, Insititut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM) akan diperkasakan dengan penstrukturan semula empat kluster penting antaranya Ekonomi, Pelancongan bagi memastikan kajian yang dijalankan dapat membantu pembangunan sosio-ekonomi dengan berteraskan praktikal bukannya teori.

“Dalam merealisasikan usaha menginsankan pendidikan, UUM juga bersetuju dengan Kementerian Pendidikan untuk mengkaji cadangan pindaan dan pemansuhan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 terutama yang menyekat kebebasan pergerakan pelajar melalui Seksyen 15 dan 16.

“Kita mahu beri peluang dan ruang kepada mahasiswa untuk bersuara namun dalam persekitaran kondusif dan mereka dididik untuk tahu menilai mana buruk dan baik supaya tidak timbul isu besar kepala, ” katanya.

Selain itu, khusus pembaharuan buat mahasiswa, kajian akan dibuat untuk membolehkan mereka menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Akademik Universiti, memperkenalkan medan intelektual terbuka melalui Debat Perdana UUM dan memperkasakan sudut pidato dan persatuan pelajar.

Beliau berkata, pembaharuan lain termasuklah melaksanakan proses transformasi digital secara agresif selain bergerak menuju ke era antarabangsa dengan menubuhkan cawangan di rantau ASEAN.

Berita Harian X