Isnin, 17 September 2018 | 6:15pm
BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kempen 10 hari paling ideal - Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Tempoh 10 hari adalah waktu kempen paling ideal untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi mengelakkan pengundi bosan, sekali gus menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata beliau percaya SPR lebih bijaksana dalam menentukan tarikh penting berdasarkan pengalaman tiga PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

“Idealnya saya syorkan kempen sekitar 10 hari dan hari pengundian sebelum 15 Oktober yang juga hari pertama mesyuarat kedua Dewan Rakyat bermula.

“Kalau tidak boleh, PRK dalam masa Dewan Rakyat bersidang pun tak mengapa sebab saya ada buat begitu. Namun ini akan menyusahkan wakil rakyat memenuhi masa berkempen,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Jelasnya, dalam menentukan tarikh mengundi, SPR juga tertakluk kepada undang-undang pilihan raya, yang mana penamaan calon hanya boleh dibuat empat hari selepas tarikh notis dikeluarkan, sementara hari mengundi sekurang-kurangnya tujuh hari selepas hari penamaan calon.

Ditanya mengenai ramalan penganalisis kemungkinan penamaan calon akan diadakan pada 22 atau 23 September dan tarikh mengundi jatuh pada 7 Oktober dengan tempoh kempen 15 hari, Abdul Aziz berkata ia hanya ramalan.

“Itu ramalan dan kalau tepat pun kebetulan saja. Terpulang kepada kebijaksanaan SPR tanpa dipengaruhi sesiapa dalam menentukan tempoh kempen, tarikh undi awal dan undi biasa.

“Saya nasihatkan pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat dan parti politik seperti ditetapkan undang-undang,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan susulan pengumuman Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sebagai usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat bakal Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum ini, BH melaporkan kenyataan Abdul Aziz bahawa pencapaian terburuk keluar mengundi dalam sejarah PRK DUN Balakong dan Seri Setia 8 September lalu antaranya berpunca daripada cuti panjang dan tempoh kempen 21 hari yang terlalu lama menyebabkan pengundi bosan dan hilang ghairah.

Keadaan itu menjadikan PRK DUN Balakong dengan peratusan keluar mengundi 43 peratus, Seri Setia (44 peratus) pertama dan kedua terburuk selepas PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, yang ketiga terburuk dengan 49.4 peratus.

Untuk rekod, PRK DUN Penanti pada 2009 sebelum ini mencatatkan peratusan keluar mengundi paling sedikit iaitu hanya 46 peratus.

Berita Harian X