Selasa, 18 September 2018 | 2:58pm
MENTERI Wilayah Khalid Abdul Samad (dua dari kiri) merasmikan Jualan dan Permulaan Kerja Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Rampai II di Dewan D'Tasik Taman Sri Rampai. -Foto BERNAMA

Saiz RUMAWIP ditambah

KUALA LUMPUR: Keluasan lantai unit kediaman Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah pada masa akan datang akan ditambah minimum 83.61 meter persegi (900 kaki persegi) berbanding 74.32 meter persegi (800 kaki persegi) ketika ini.

Menteri Wilayah Khalid Samad, berkata itu antara penambahbaikan yang akan dilakukan kerajaan dalam meneruskan inisiatif projek RUMAWIP yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu selari dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain proses pelantikan pemaju yang dibuat secara tender terbuka bagi mengelakkan berlakunya rasuah dan penyelewengan.

“Ini membuktikan bukan semua inisiatif BN kita tolak kerana pelaksanaan RUMAWIP yang menggunakan kaedah ‘cross-subsidy’ ini bagus tanpa perlu kerajaan mengeluarkan satu sen pun.

“Dalam projek RUMAWIP akan datang, KPKT sudah putuskan saiz minimum unit kediaman ini bukan lagi 800 kaki persegi yang ada seperti sekarang tetapi 900 kaki persegi. Buat masa sekarang ini, saiz diputuskan sebelum ini kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jualan dan Permulaan Kerja Bangunan RUMAWIP Residensi Rampai II di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi CRSC Group, Datuk Seri Lawrence Low Wui Keong.

Khalid berkata, penambahbaikan lain adalah memastikan proses lantikan pemaju RUMAWIP dibuat melalui tender terbuka bagi mengelakkan amalan rasuah berbanding rundingan terus dengan pemaju tertentu seperti dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini.

“Bila melalui tender terbuka, kita akan dapat lebih banyak tawaran dari pemaju dan akan pilih yang terbaik. Bila berlaku rasuah atau penyelewengan, yang akan menjadi mangsa adalah rakyat.

“Anggapan bila berlaku rasuah, kononnya pemaju beri rasuah daripada keuntungan adalah silap kerana pemaju kalau dia boleh bayar (rasuah) itu dia bil (caj) balik pada rakyat menjadikan rumah lebih mahal. Itu yang kita kena hentikan,” katanya.

Mengulas perkembangan RUMAWIP, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, sebanyak 55,974 unit sudah diluluskan membabitkan 89 projek sejak program itu bermula pada 2013 sehingga 31 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu katanya, 9,254 unit di 17 projek adalah dalam kategori siap, 23,256 unit (36 projek) masih dalam pembinaan manakala dan 23,464 (36 projek) di peringkat kelulusan perintah pembangunan.

“Daripada jumlah projek yang diluluskan itu sebanyak 53 projek sudah dibuka penawaran membabitkan 35,266 unit dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM9 bilion.

“Setakat 31 Ogos 2018, sebanyak 19,333 unit di 40 projek berjaya dijual manakala baki sebanyak 15,933 unit membabitkan 13 projek masih di peringkat awal permohonan,” katanya.

Berita Harian X