Selasa, 18 September 2018 | 5:49pm
PENGERUSI Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGERUSI Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Industri bekalan tenaga perlu ikuti teknologi semasa

KUALA LUMPUR: Industri bekalan tenaga perlu sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa dan menghasilkan idea baharu bagi memastikan mereka terus berdaya saing di pasaran.

Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie, berkata ini kerana sebagai antara industri utama dalam negara, industri bekalan tenaga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Katanya, ia membekalkan masyarakat dengan keperluan asas seperti cahaya, keselesaan dan kehangatan dan beliau percaya kebanyakan masyarakat akan bergelut jika tiada bekalan elektrik biarpun dalam tempoh singkat menunjukkan yang bekalan elektrik kini menjadi sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat.

“Sepanjang tahun, kita juga melihat bagaimana perkembangan teknologi mengubah landskap industri dari majoriti menggunakan sistem mekanikal kepada sistem berasaskan data, digital dan fizikal siber.

“Malah, strategi integrasi menegak yang secara tradisional digunakan sebelum ini dalam syarikat tenaga juga sedang mempelajari penggunaan dan kesan daripada strategi integrasi melintang berpandukan teknologi yang sedang muncul ketika ini.

“Kita melihat di mana aliran mega dan gangguan teknologi menyumbang kepada banyak peluang baharu dan menarik. Bagaimanapun, teknologi turut mewujudkan peserta baharu yang boleh memacu dan mengubah landskap industri, dalam usaha memenuhi jangkaan baharu pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan lebih baik pada kadar kompetitif.

“Kerana itu industri ini perlu bersedia dengan mengikuti perkembangan teknologi dan menghasilkan idea baharu bagi memastikan kita terus berdaya saing di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd.

Mengulas lanjut, Moggi berkata, kemajuan dalam teknologi tenaga utama memerlukan pembuat dasar di Malaysia menyemak semula peranan rangka kerja kawal selia masing-masing.

“Kedua-duanya, penggunaan teknologi baharu dan rangka kerja kawal selia yang tepat, adalah kaedah untuk mencapai sasaran kemampanan tenaga termasuk memastikan kebolehlaksanaan ekonomi, keselamatan tenaga dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Menyentuh mengenai persidangan dan pameran bermula hari ini hingga 23 September, Moggie yakin ia menyediakan peluang sebenar kepada industri untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam mendepani cabaran semasa dan masa depan industri seperti tenaga boleh diperbaharui dan hijau, perubahan iklim, alam sekitar, grid pintar, logistik untuk kereta elektrik, runcit dan perkhidmatan pelanggan.

“Semua cabaran ini perlu dilalui industri selain cabaran konvensional dialami seperti penjanaan, transmisi (grid), rangkaian pengedaran dan perniagaan runcit,” katanya.

Berita Harian X