Rabu, 19 September 2018 | 8:40pm
AUDREY Azoulay.

Kuala Lumpur dinobat Kota Buku Dunia 2020

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca - Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

UNESCO dalam kenyataan di laman webnya berkata, keputusan yang diumumkan oleh Ketua Pengarahnya, Audrey Azoulay itu berdasarkan saranan Jawatankuasa Penasihat Kota Buku Dunia.

“Ibu kota itu dipilih kerana fokus yang tinggi terhadap pendidikan yang inklusif, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan kebolehcapaian membaca kepada segenap populasinya.

“Dengan slogan KL Baca – Caring Through Reading, program menumpukan empat tema, iaitu membaca dalam semua bentuk, pembangunan infrastruktur industri buku, inklusif dan akses digital dan pemberdayaan kanak-kanak melalui membaca.

“Antara acara dan aktiviti yang dianjurkan ialah pembinaan kota buku (Kompleks Kota Buku), kempen membaca kepada pengguna tren, peningkatan perkhidmatan dan capaian digital oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk orang kurang upaya serta perkhidmatan digital baharu kepada 12 perpustakaan di kawasan perumahan kos rendah,” katanya di sini, semalam.

Kenyataan itu berkata, matlamat ibu kota itu adalah untuk memupuk budaya membaca dan inklusif - ‘Kota yang membaca ialah kota yang mengambil berat’ yang menekankan akses kepada buku di mana-mana sahaja.

“Program yang bercita-cita tinggi ibu kota itu untuk Kota Buku Dunia adalah yang berkait dengan Wawasan 2020 untuk Kuala Lumpur dan projek eko-bandar yang dinamakan River of Life dengan kedai buku terbuka dan perpustakaan yang mengisi laluan air yang baru dipulihara.

“Sambutan itu akan bermula pada 23 April 2020, iaitu Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia,” katanya.

Kota yang dipilih sebagai Kota Buku Dunia UNESCO bertekad untuk mempromosi buku dan membaca serta menganjurkan aktiviti sepanjang tahun.

Sebanyak 20 kota dinobatkan gelaran itu sejak 2001 dengan Kuala Lumpur mengikuti Sharjah pada 2019, dan Athens (2018). Pemenang sebelum ini termasuklah Madrid pada 2001; Iskandariah (2002); New Delhi (2003); Anvers (2004); Montreal (2005); Turin (2006); Bogota (2007); Amsterdam (2008); Beirut (2009); Ljubljana (2010); Buenos Aires (2011); Erevan (2012); Bangkok (2013); Port Harcourt (2014); Incheon (2015) dan Wroclaw (2016).

Permohonan oleh Kuala Lumpur diterima oleh Jawatankuasa Penasihat yang merangkumi perwakilan daripada Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA); Persekutuan Antarabangsa Persatuan Perpustakaan (IFLA) dan UNESCO.

Berita Harian X