X
Jumaat, 21 September 2018 | 4:14pm
DARELL Leiking (kanan) mengadakan Sidang Media selepas menghadiri Seminar on Automation and IR4.0. di Hotel Pullman, Kuching. - Foto Nadim Bokhari
DARELL Leiking (kanan) mengadakan Sidang Media selepas menghadiri Seminar on Automation and IR4.0. di Hotel Pullman, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Inisiatif baharu perkasa PKS

KUCHING: Inisiatif Industry 4ward yang bakal diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam masa terdekat, mampu memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Menterinya, Darell Leiking, berkata kementeriannya sedang menunggu kelulusan Kabinet berhubung mekanisme pelaksanaan inisiatif itu, untuk membawa perubahan besar terhadap sektor berkenaan, sekali gus menjadi antara penjana utama ekonomi negara.

Katanya, inisiatif berkenaan, yang juga sebahagian daripada pendekatan strategik kementerian bagi mengubah landskap perdagangan dan perindustrian negara, turut memberi fokus kepada sektor pembuatan serta perkhidmatan berkaitan.

“Jika semua berjalan lancar, inisiatif ini dijangka diperkenalkan dalam tempoh sebulan lagi. Bagaimanapun, ia tidak akan menyentuh keseluruhan revolusi industri 4.0, sebaliknya memfokuskan untuk meningkatkan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

“Pada masa sama, MITI mahu SME Corp bersiap sedia mendokong pelaksanaan inisiatif ini kerana ia antara bidang keutamaan kementerian,” katanya pada sidang media sebelum merasmikan Seminar Industri 4.0 dan Automasi, di sini, hari ini.

Darell berkata, pengenalan inisiatif itu selaras hasrat MITI untuk menggalakkan semua pemain industri yang terbabit untuk menukar bentuk perniagaan mereka kepada yang lebih mudah.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata, kerajaan memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) untuk membantu usahawan PKS untuk menggerakkan automasi yang menjadi penjana Industri 4.0 dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Bantuan itu, katanya, termasuk menyediakan kemudahan pinjaman untuk membantu mereka mengukuhkan perusahaan.

“Kerajaan sedar akan cabaran yang dihadapi oleh usahawan PKS dalam mencari modal untuk mengembangkan perniagaan dengan pilihan yang kadang-kadang terhad kepada saluran perbankan tradisional.

“Mereka secara tradisinya cenderung untuk meminjam daripada bank dan oleh itu mereka tidak menyedari sumber pembiayaan lain yang ditawarkan oleh firma modal teroka seperti Institusi Pembangunan Kewangan (IKP) serta dana pinjaman mudah dan bantuan yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia dan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, beliau diiringi Pengarah Urusan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani mengadakan lawatan ke dua kilang, Water Genesis Sdn Bhd dan Elim Industries Sdn Bhd, di sini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X