Isnin, 24 September 2018 | 12:37pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah: Siri CEO Institut Persatuan Pemaju Rumah dan Hartanah Malaysia (REHDA) 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Turunkan harga rumah atau pengecualian SST ditarik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diberikan kepada sektor pembinaan jika pemaju tidak mengurangkan harga perumahan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata di bawah regim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini, sektor pembinaan dikenakan cukai enam peratus termasuk menyewa dan bil utiliti dalam sektor komersial dan industri, namun kini semunya sudah dikecualikan daripada cukai.

“Justeru kita berharap pemaju dapat membalas semula pengecualian SST yang diberikan kerajaan ini dengan mengurangkan harga rumah.

“Jika tidak saya terpaksa untuk menimbang semula pengecualian yang diberikan kerana kita mahu melihat harga rumah turun.

“Saya juga tidak mahu penjimatan yang diraih daripada pengecualian SST ini diterjemahkan kepada penambahan pakej-pakej tertentu di dalam perumahan, sebaliknya saya lihat mahu harga dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah: Siri CEO Institut Persatuan Pemaju Rumah dan Hartanah Malaysia (REHDA) 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon dan Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip.

Pada Ogos lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan beberapa bahan binaan seperti simen, batu bata dan produk keluli akan dikecualikan daripada SST.

Dalam perkembangan lain Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembayaran levi berjumlah RM10,000 setahun dikongsi bersama dengan majikan membayar 20 peratus manakala selebihnya ditanggung oleh pekerja.

Sebelum ini levi berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh majikan yang mahu melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja mereka selama tiga tahun lagi selepas sudah 10 tahun bekerja di sini.

“Kita jangkakan mampu kutip sekitar RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun ini menerusi levi pekerja asing ini.

“Selain daripada menyumbang pendapatan, kita juga mahu memastikan pembangunan ekonomi dapat berjalan lancar dan tidak tergendala kerana ketiadaan pekerja asing terlatih ini,” katanya.

Sementara itu Heng Choon menggesa semua pemaju perumahan di seluruh negara supaya mengurangkan harga rumah susulan daripada pengecualian SST diberikan kerajaan.

“Sebarang penjimatan yang diperoleh daripada pengecualian ini haruslah dipulangkan semula kepada pembeli menerusi pengurangan harga perumahan.

“Kita berharap semua pemaju dapat bekerjasama dengan akan mengambil tindakan sewajar dalam masa terdekat.

“Selain itu, kita juga akan mengumumkan dapatan kajian yang sedang dilakukan oleh Institut REHDA mengenai pengurangan harga perumahan selepas pengecualian SST sebelum bajet dibentangkan November ini,” katanya.

Berita Harian X