Isnin, 24 September 2018 | 6:10pm
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Dr. Noorazman Mohd Samsuddin (tengah) bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (kanan) pada satu sidang media di Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Mahkamah benar Zionis rampas kampung Palestin

Oleh Saadiah Ismail

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kekejaman terhadap penduduk Palestin berterusan apabila Mahkamah Tinggi Israel mengizinkan rejim Zionis untuk meruntuh dan merampas kawasan perkampungan Khan Al-Ahmar di Baitulmaqdis Timur.

Tindakan kejam itu dikutuk sekeras-kerasnya oleh Yayasan MyAQSA kerana seolah ingin merosakkan pelan perdamaian yang ditandatangani sendiri iaitu Perjanjian Damai Oslo.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata tindakan rejim Zionis adalah pelanggaran haram dan menjadi punca untuk terus memusnahkan Palestin dan perkampungan mereka.

Katanya, Mahkamah Tinggi Israel menolak rayuan penduduk secara rasmi pada 23 September lalu dan memberi tempoh tujuh hari untuk penduduk mengosongkan tempat tinggal mereka.

“Pihak Israel mengeluarkan notis supaya penduduk Khan Al-Ahmar meroboh dan memusnahkan rumah serta sekolah mereka sendiri sebelum 1 Oktober ini.

“Tindakan jahat rejim Zionis ini adalah untuk meluaskan lagi dua kawasan penempatan haram Israel, iaitu Maale Adumim dan Kfar Adumim yang jelas melanggar Resolusi 2334 Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian OSLO pada tahun 1993,” katanya dalam satu kenyataan kepada BH.

Khan Al-Ahmar adalah perkampungan Palestin beberapa kilometer dari dua kawasan besar penempatan haram Israel di Baitulmaqdis.

Justeru menerusi MyAQSA, beliau menyeru seluruh rakyat negara ini, organisasi bukan kerajaan (NGO) termasuk kerajaan Malaysia mengutuk dan bersama-sama membuat bantahan terhadap pemusnahan sebuah perkampungan yang sempurna oleh Israel.

“MyAQSA turut menyeru agar satu tindakan di peringkat antarabangsa diambil oleh Malaysia untuk mencabar pencabulan Resolusi 2334 dan perjanjian damai di antara Palestin dan Israel di peringkat antarabangsa.

Berita Harian X