Selasa, 25 September 2018 | 11:56am
MOHD Azis bersama Alwi dan pegawai kanan negara ASEAN pada Majlis Mesyuarat Pegawai Pegawai Kanan Asean Mengenai Jenayah Rentas Sepadan dan Mesyuarat Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MOHD Azis bersama Alwi dan pegawai kanan negara ASEAN pada Majlis Mesyuarat Pegawai Pegawai Kanan Asean Mengenai Jenayah Rentas Sepadan dan Mesyuarat Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Malaysia bawa 3 isu ke SOMTC

PUTRAJAYA: Malaysia mengetuai perbincangan bagi tiga bidang utama jenayah rentas sempadan pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) kali ke-18 kali ini membabitkan penyeludupan manusia, aktiviti perlanunan di laut dan penggubahan wang haram.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata tiga bidang berkenaan termasuk dalam 10 bidang utama jenayah rentas sempadan yang dibawa untuk perbincangan pada mesyuarat kali ini.

Beliau berkata, tiga bidang jenayah yang dibincangkan itu bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia sebaliknya ia membabitkan semua negara-negara ASEAN.

"Tiga isu ini akan menjadi objektif utama Malaysia. Bagaimanapun, Malaysia juga akan menyertai perbincangan bagi tujuh bidang lain termasuk memberi input bersama ahli Asean dan rakan dialog yang lain.

"Tujuh bidang utama lain adalah keganasan; pemerdagangan orang; jenayah siber; penyeludupan dadah; jenayah ekonomi antarabangsa; penyeludupan senjata api serta penyeludupan hidupan liar dan balak," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.

MOHD Azis berucap pada Majlis Mesyuarat Pegawai Pegawai Kanan Asean Mengenai Jenayah Rentas Sepadan dan Mesyuarat Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MOHD Azis berucap pada Majlis Mesyuarat Pegawai Pegawai Kanan Asean Mengenai Jenayah Rentas Sepadan dan Mesyuarat Mesyuarat Berkaitan (SOMTC) di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mohd Azis berkata, beliau berharap mesyuarat kali ini akan membantu mencari jalan untuk mengatasi jenayah rentas sempadan berkenaan.

Beliau berkata, biarpun ia nampak sukar, semua pihak akan melakukan yang terbaik sekali gus meminimakan masalah berkenaan.

Mohd Aziz berkata, mesyuarat bertemakan 'Jaminan Keselamatan, Keamanan dan Kesejahteraan ASEAN itu adalah antara platform utama bagi perbincangan mengenai isu-isu keselamatan di peringkat serantau.

"DaIam konteks ini, Malaysia menjadi peneraju dalam usaha-usaha serantau terutama menerusi perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat perisikan dan pembangunan jaringan kerjasama dengan negara-negara ASEAN.

"Hasil daripada Mesyuarat SOMTC ini akan dilaporkan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri dalam Jenayah Rentas Sempadan (ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime AMMTC) yang akan berlangsung di Myanmar pada penghujung bulan depan.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah bagi SOMTC iaitu pada 2008.

Seramai 221 delegasi daripada 10 negara-negara Asean hadir pada program kali ini selain wakil daripada 10 negara rakan dialog termasuk Australia; Kanada; China; India; Jepun; Korea; New Zealand; Russia dan Amerika Syarikat sereta Kesatuan Eropah.

Selain itu, dua organisasi antarabangsa iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan ASEAN-Australia Program for Trafficking in Persons (AAPTIP) turut menghantar wakil masing-masing kali ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X