Rabu, 26 September 2018 | 7:12pm
SURAT yang viral dalam media sosial mengenai projek jambatan di Bagan Datuk yang tidak diluluskan untuk diteruskan.

Projek jambatan di Bagan Datuk dibatalkan

IPOH: Projek pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Perak bagi menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan daerah Perak Tengah dan Manjung, telah dibatalkan.

Berikutan pembatalan projek jambatan itu, secara tidak langsung hampir semua projek Kerajaan Persekutuan yang diluluskan untuk daerah Bagan Datuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sama ada ditangguhkan atau dibatalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri, berkata beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan tidak meluluskan projek pembinaan jambatan bernilai RM418 juta itu untuk diteruskan.

“Projek jambatan dari pekan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop itu mula dilaksanakan pada 3 Julai lalu dan sepatutnya dijangka siap pada 23 Julai 2020.

“Setakat ini, projek itu sudah berjalan sebanyak 15.86 peratus berbanding dijadualkan sepatutnya pada tahap 17.87 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas surat yang viral dalam media sosial yang memaklumkan mengenai projek berkenaan yang tidak diluluskan untuk diteruskan.

Surat itu yang dikatakan dari Kementerian Kewangan ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zahari Akob, memaklumkan bahawa ia dibatalkan dan kontrak projek itu dengan syarikat Naza Engineering and Construction Sdn Bhd, ditamatkan berdasarkan klausa kontrak berkaitan.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan merayu untuk projek itu diteruskan berikutan kerja-kerja pemasangan cerucuk dalam Sungai Perak dikatakan sudah dilakukan, Abdul Yunus berkata, pihaknya akan membuat semakan dan berbincang semula mengenainya.

Sebelum PRU-14, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri, mengumumkan beberapa projek yang menjadi fokus pembangunan di Bagan Datuk seiring dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN5O) dengan peruntukan berjumlah RM2.3 bilion.

Namun, selepas pilihan raya itu yang menyaksikan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional, hampir semua projek terbabit diumumkan untuk ditangguhkan.

Antara projek pembangunan yang ditangguhkan itu termasuk kerja-kerja perluasan jalan empat lorong ke Bagan Datuk, pembinaan politeknik, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kompleks sukan, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), perpustakaan digital, kilang perindustrian automotif dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk.

Berita Harian X