Rabu, 26 September 2018 | 11:16pm
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di dalam kereta tersenyum sejurus keluar dari bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan selama 13 jam berhubung isu pengubahan wang haram di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Luqman Hakim Zubir
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di dalam kereta tersenyum sejurus keluar dari bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan selama 13 jam berhubung isu pengubahan wang haram di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Luqman Hakim Zubir

Saya ok - Rosmah

PUTRAJAYA: “Syukur... saya ok. Alhamdulillah,” kata Datin Seri Rosmah Mansor selepas hampir 13 jam diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau yang kelihatan ceria dan masih sempat tersenyum ketika menjawab ringkas soalan petugas media yang menunggunya sejak pagi tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut soalan wartawan mengenai sesi ambil keterangan ke atasnya yang berlanjutan selama hampir 13 jam sejak hadir ke Ibu Pejabat SPRM jam 9.50 pagi tadi.

Sementara itu, peguam Rosmah, Datuk K Kumaraendran, berkata dia tidak boleh mengulas lanjut mengenai soal siasat yang dihadapi Rosmah namun menjelaskan sesi ambil keterangan terhadap anak guamnya sudah selesai.

“Datin Seri (Rosmah) sudah selesai memberi keterangan kepada SPRM.

“Saya tidak berhasrat untuk beri apa-apa kenyataan,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada Rosmah akan dipanggil lagi ke SPRM untuk memberi keterangan esok, beliau berkata tiada arahan sedemikian diterima daripada SPRM.

Terdahulu, Rosmah yang hadir ke ibu pejabat SPRM pada jam 9.50 pagi tadi dengan menaiki PROTON Perdana berwarna gelap dilihat meninggalkan bangunan itu pada jam 10.40 malam dengan kenderaan sama.

Sumber berkata, kehadiran isteri bekas Perdana Menteri itu, di sini hari inibagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

Rosmah dipanggil selepas menerima notis untuk memerintah kehadiran ke ibu pejabat SPRM di kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini, petang semalam.

Menurut sumber lagi, tindakan memanggil Rosmah adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan ke atasnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Ini adalah kali kedua dipanggil ke SPRM untuk diambil keterangan dengan kali pertama beliau hadir pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Berita Harian X