Khamis, 27 September 2018 | 4:29pm
MUHYIDDIN pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di sini, hari ini. - NSTP/ Saddam Yusoff
MUHYIDDIN pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di sini, hari ini. - NSTP/ Saddam Yusoff

KDN dalam peringkat akhir perkasa IPCMC

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam peringkat akhir memperkasakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang akan dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementeriannya sudah mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh dan inisiatif itu akan dibentangkan di Kabinet dalam tempoh terdekat.

“Secara umumnya, kita bersetuju dengan penubuhan IPCMC dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sudah mengumumkan perkara ini.

“Kita sudah berbincang dengan semua pihak berkepentingan terutama polis dan semua pandangan mereka perlu diambil perhatian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status IPCMC yang sebelum ini mendapat tentangan ramai terutama dalam kalangan polis.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan meneliti dengan lebih lanjut butiran IPCMC terutama membabitkan bidang tugas suruhanjaya berkenaan.

“Sebaik saja semua butiran ini lengkap, kita akan membawanya pada mesyuarat Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya baru-baru ini berkata kerajaan bersetuju supaya EAIC diperluaskan dan dikenali sebagai IPCMC.

Perdana Menteri berkata, suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik berikutan banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai polis.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X