Khamis, 27 September 2018 | 6:03pm
PENGERUSI PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PAC akan panggil 18 saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Low Taek Jho (Jho Low), antara 18 saksi yang akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Ia adalah sebagai prosiding pertama siasatan berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata, Najib dan Jho Low yang pernah bertugas sebagai Penasihat Khas Terengganu Investment Authority (TIA), sebelum ia ditukar nama kepada 1MDB.

“Keterangan daripada mereka amat penting dalam membantu Jawatankuasa melengkapkan siasatan secara komprehensif memandangkan sebelum ini, individu terbabit tidak dipanggil oleh PAC Parlimen penggal ke 13,” katanya dalam kenyataan akhbar berhubung Prosiding Siasatan Semula 1MDB, di sini hari ini.

Keputusan berkenaan dipersetujui pada mesyuarat PAC mengenai siasatan semula syarikat 1MDB pada Selasa lalu, yang mana Tan Sri Ambrin Buang adalah Ketua Audit Negara ketika Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan pengauditan syarikat 1MDB dan membentangkan laporannya pada Mac 2016 kepada PAC Parlimen penggal ke 13.

Usul berkenaan diluluskan Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat 16 Ogos lalu.

Kiandee berkata PAC turut mendapat taklimat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad pada 30 Ogos dan 4 September lalu berhubung Laporan Pengauditan Syarikat 1MDB.

Malah, PAC turut mendapatkan pandangan dan nasihat udang-undang daripada Jabatan Peguam Negara yang juga adalah wakil tetro (ex-officio) dalam Jawatankuasa ini bagi memulakan semula siasatan syarikat 1MDB.

“Semua ahli PAC sudah mempunyai maklumat dan latar belakang mengenai syarikat 1MDB melalui taklimat pengauditan berkenaan, termasuk penjelasan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) terhadap syarikat 1MDB,” katanya.

Kiandee, berkata sebanyak 10 terma rujukan (TOR) digariskan yang akan digunakan sebagai rujukan Jawatankuasa sepanjang prosiding 1MDB berlangsung, antara lain membabitkan penggunaan dua laporan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) yang diterbitkan pada 2016 dan 2017.

“Jawatankuasa berkenaan akan mendapatkan taklimat khusus daripada firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dilantik Kementerian Kewangan sebagai perunding 1MDB pada 9 Oktober ini.

“Taklimat itu mustahak dalam memastikan Jawatankuasa mengetahui status terkini syarikat 1MDB terutama sekali berhubung kedudukan kewangannya,” katanya.

Berita Harian X