Sabtu, 29 September 2018 | 6:09pm
​​​KETUA Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho. - Foto Reuters
KENDERAAN yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi, Indonesia. - Foto NSTP
ANTARA kenderaan yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi, Indonesia. - Foto NSTP
LANDASAN kapalterbang di Mutiara Sis Al Jufri yang terjejas akibat gempa bumi.

Pelajar Malaysia di Sulawesi selamat

JAKARTA: Semua pelajar Malaysia di Sulawesi dilaporkan selamat kerana kedudukan mereka jauh dari kawasan gempa bumi yang menggegarkan Kota Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah semalam.

Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia, Mohd Mubarak Shamsuddin, berkata terdapat 286 pelajar Malaysia di Universitas Hassanuddin dan dua lagi di Sekolah Tinggi Ilmu dan Bahasa di Makasar, masing-masing di Sulawesi Selatan.

“Jarak kawasan yang terjejas dengan Kota Makassar adalah sejauh 700 kilometer.

“Tiada juga rakyat Malaysia di kawasan berdekatan (kawasan gempa) kerana ia bukanlah kawasan utama tumpuan pelancong,” katanya kepada BERNAMA di sini.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lengkap dan terkini berhubung bencana itu.

Gempa bumi 7.4 magnitud itu menggoncang Sulawesi Tengah pada 5.02 petang semalam dan turut menyebabkan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu.

​​​Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, dalam satu kenyataan hari ini, berkata ribuan rumah dan bangunan musnah.

“Komunikasi di Sulawesi Tengah lumpuh berikutan bekalan elektrik terputus, jaringan komunikasi juga terputus dan ini menyukarkan perolehan data dan maklumat dengan cepat berhubung kesan gempa dan tsunami itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro agensi berita Antara di Sulawesi Tengah, Rolex Malaha, berkata jumlah mangsa terkorban dikhuatiri terus meningkat berikutan ramai dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan rumah dan bangunan.

“Jumlah korban dikhuatiri mencecah ratusan orang berikutan banyak bangunan dan hotel runtuh akibat gempa bumi itu,” katanya dipetik dalam laporan Antara. – BERNAMA

Berita Harian X