Ahad, 30 September 2018 | 4:25pm
TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya hadir pada majlis memasak bubur assyura anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Bandar Tun Razak di Bandar Tasik Selatan, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Malaysia sedia hantar bantuan ke Sulawesi

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia menghulurkan bantuan ke Sulawesi, Indonesia susulan tsunami yang melanda negara jiran itu, kelmarin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, berkata kedutaan di Indonesia sedang memantau perkembangan di negara itu sebelum Wisma Putra memutuskan bentuk bantuan yang bakal disalurkan.

Beliau menjangkakan Wisma Putra akan memperoleh maklumat berkenaan dalam tempoh beberapa hari.

“Setakat ini kita masih lagi memantau soal kedudukan di sana tetapi sehingga saya dimaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terbabit. Jadi, kita sekarang dalam proses memantau keadaan terkini dan saya difahamkan keadaan bertambah buruk.

“Kita doakan hal ini dapat diselesaikan sebaik mungkin dan kemudian barulah kita akan atur dari segi bantuan.

“Mungkin (terima maklumat) dalam sehari dua boleh tahu. Setakat ini pun belum ada laporan terkini dari kedutaan tentang status di Sulawesi. Bagaimanapun, kaunselor kita di sana sedang pantau,” katanya kepada pemberita di majlis memasak bubur assyura anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Bandar Tun Razak di Bandar Tasik Selatan, hari ini.

Jumlah korban akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia, meningkat kepada sekurang-kurangnya 384 orang dengan kebanyakannya maut akibat dihanyut ombak besar ketika bermain di pantai.

Setakat semalam, agensi bencana Indonesia menyatakan semua mangsa yang terkorban itu di Palu yang dilanda tsunami besar dan memberi amaran jumlah korban boleh meningkat.

Menurut agensi itu, kira-kira 540 lagi cedera parah.

Menurut pihak berkuasa, gempa susulan masih menggegarkan Sulawesi hari ini, sehingga 100 gegaran sejak semalam, selepas pantai tumpuan pelancong dibadai ombak setinggi enam meter selepas gegaran berskala 7.5 magnitud.

Berita Harian X