Rabu, 3 Oktober 2018 | 8:08pm
DATIN Seri Rosmah Mansor menghadapi 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DATIN Seri Rosmah Mansor menghadapi 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Rosmah hadapi 15 hingga 17 pertuduhan pengubahan wang haram

PUTRAJAYA: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan berhadapan antara 15 hingga 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada jam 8 pagi esok.

Semua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu, membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan, tuduhan dihadapi Rosmah membabitkan sejumlah RM10 juta.

Rosmah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada jam 3.20 petang tadi, selepas agensi itu mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan yang mengesahkan penahanan Rosmah memaklumkan, beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8 pagi esok, bagi menghadapi beberapa pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2001.

Terdahulu, Rosmah tiba jam 10.42 pagi di bangunan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini, untuk memberi keterangan.

Beliau dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM dengan menaiki kenderaan Proton Perdana, diiringi sebuah lagi kenderaan.

Rosmah yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda memasuki lobi bangunan dengan diiringi beberapa kakitangan SPRM.

Peguam Rosmah, Datuk K Kumaraendran, pada sidang media berkata, beliau tidak tahu jumlah pertuduhan yang akan disabitkan terhadap anak guamnya itu.

“Saya cuma diberitahu beliau akan dibawa ke Mahkamah Jalan Duta, esok. Beliau (Rosmah) ditahan selepas memberi kenyataan kepada SPRM hari ini,” katanya.

Ini kali ketiga Rosmah hadir memberi keterangan di sini dan difahamkan, mungkin kali terakhir Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah terhadap beberapa pertuduhan membabitkan 1MDB dan pengubahan wang haram.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM selama hampir 13 jam.

Tindakan SPRM memanggil beliau adalah bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, kes pecah amanah dan salah guna kedudukan dalam jawatan membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak, juga disebut pagi ini di Mahkamah Tinggi, di sini.

Turut disebut, kes pengubahan wang haram membabitkan wang sama di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Berita Harian X