Khamis, 4 Oktober 2018 | 2:33pm

Misi ke lokasi sukar, berisiko

MISI menuju ke lokasi gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah, amat sukar dan berisiko.

Malah bagi mereka yang pernah membuat liputan bencana tsunami di Aceh, Sumatera pada 26 Disember 2004 pasti mengakui perkara sama.

Penutupan lapangan terbang di Palu dan Poso, Sulawesi, menyebabkan penulis tiada pilihan selain menggunakan jalan darat untuk sampai ke destinasi bencana terletak sejauh lebih 930 kilometer.

Sebaik tiba ke Makassar, Sulawesi dengan pesawat dari Kuala Lumpur dan Jakarta malam kelmarin, penulis terlebih dahulu berdepan isu kelewatan jadual penerbangan menyebabkan pesawat hanya tiba di sana sekitar jam 10 malam waktu tempatan.

Penulis dan juru video NSTP, Muhamad Shahir Othman meneruskan perjalanan menaiki kenderaan Toyota Innova ke destinasi pada jam 12 tengah malam berikutan mengejar masa.

Ketiadaan lebuh raya, keadaan jalan kecil berliku dan kesesakan lalu lintas ketika melintasi beratus pekan kecil menyebabkan perjalanan tidak selancar disangka.

PENDUDUK berjalan di celah runtuhan bangunan dan rumah serta menara masjid turut musnah selepas bencana gempa bumi disusuli tsunami melanda Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia

Stesen minyak habis petrol

Malah beberapa stesen minyak disinggahi kami didapati kehabisan petrol sekali gus menimbulkan lebih banyak masalah.

Berulang kali pemandu kami, Mohd Dedi Jefri, 29 meluahkan kerisauan sekiranya kenderaan dinaiki kehabisan petrol di pertengahan jalan.

“Di Palu, Kabupaten (daerah) Sigi dan kabupaten Donggala, keadaannya umpama bandar mati. Semua stesen minyak Pertamina ditutup akibat gempa bumi selain kehabisan BBM (bahan bakar minyak ).

“Saya bimbang kita tidak bisa (boleh) pergi ke sana (Palu), tetapi ngak bisa pulang ke Makassar. Jarak lebih 930 kilometer cukup jauh. Tiada lagi kehidupan di sana,” kata Mohd Dedi.

Menurut maklumat diperoleh daripada anggota penyelamat tempatan, BBM dan bekalan air minuman ibarat harga [emas’ di lokasi bencana.

“Biasanya petrol dijual 7,500 rupiah (RM1.80) untuk satu liter. Namun kini harga petrol kawasan bencana) menjadi 100,000 rupiah seliter (RM30).

“Malah sebotol air mineral kecil dijual pada harga sekitar 1,000 rupiah (30 sen) hingga 3,000 rupiah (80 sen) kini menjadi 50,000 rupiah (RM15) hingga 70,000 rupiah (RM19).

“Keadaan cukup sengsara dan penduduk amat terdesak akibat kekurangan bekalan makanan dan air bersih,” katanya.

Berdasarkan maklumat, ramai mangsa gempa bertindak agresif menahan dan merampas barangan bantuan dibawa lori di tengah jalan.

“Keadaan menjadi tidak terkawal dan keselamatan petugas sukarelawan dan media tiada jaminan. Baru hari ini pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengambil tindakan mengawal jalan menuju ke lokasi bencana bagi mengelak rompakan,” kata Mohd Dedi lagi.

PENDUDUK mula meninggalkan kediaman berikutan keadaan hura-hara selain kurang makanan dan air bersih.

Masih rasai suasana panik

Di sepanjang laluan menuju ke Palu melalui pekan kecil Majene dan Malunda hingga Mamuju, penulis dapat melihat penduduk membina pos bantuan bagi mengutip pakaian, makanan atau wang bagi disumbangkan kepada mangsa gempa.

Malah ramai yang menjerit dan memberi kata-kata semangat antaranya ‘selamat berjuang’ kepada kenderaan sukarelawan atau pasukan penyelamat yang melalui kawasan berkenaan.

Sehingga semalam, keadaan panik dan cemas masih dirasai di Sulawesi apabila beratus kenderaan bertali arus menuju ke Palu, Sigi dan Donggala untuk menyalurkan bantuan. Yang pasti usaha ini akan mengambil masa agak lama untuk memulihkan semula keadaan pasca bencana besar ini.

ANGGOTA Tentera Indonesia mengebumikan mayat mangsa gempa secara beramai-ramai di kawasan tragedi. - Foto EPA
Berita Harian X