Jumaat, 5 Oktober 2018 | 8:11am

20 masjid diranapkan bencana

GEMPA bumi dan tsunami yang memporak perandakan Sulawesi Tengah, Jumaat lalu, mengakibatkan berpuluh masjid di daerah ini rosak teruk dengan kebanyakannya tidak boleh digunakan lagi.

Wartawan yang meninjau keadaan di sekitar daerah ini semalam, mendapati lebih 20 masjid di sepanjang 10 kilometer pesisir pantai Palu sehingga ke Panawa, Donggala terjejas akibat bencana itu.

Malah, runtuhan binaan masjid, serpihan kayu, rumah dan sampah-sarap dibawa ombak tsunami masih dilihat berterabur di sekeliling masjid tanpa dibersihkan sehingga kini.

Hidu bau darah mangsa

Wartawan turut terhidu bau hamis darah mangsa di sekitar kawasan itu terutama di Masjid Baiturrahman Jalan Diponegoro di sini, yang musnah 100 peratus.

Seorang jemaah masjid itu, Janauri Kecak, 42, berkata masjid utama di kota Palu itu tumbang sekelip mata bersama kubah besar selepas dipukul tsunami setinggi lebih lima meter.

Katanya, ketika kejadian, azan Maghrib baru berkumandang sebelum ombak besar tsunami tiba-tiba muncul sejurus gempa berlaku.

“Ketika itu, beberapa rakan berada dalam masjid termasuk Suyanto yang baru selesai menunaikan solat sunat.

“Air laut melimpah memasuki masjid, menyebabkan rakan saya dan jemaah lain dihanyutkan tsunami. Suyanto sempat berpaut pada kayu dan diselamatkan walaupun kakinya tersepit, manakala yang lain terkorban dan ada yang parah,” katanya.

Janauri berkata, darah mangsa boleh dilihat di sekeliling masjid sehingga kini, malah bau mayat masih boleh dihidu di sekitar masjid yang runtuh itu.

Siak Masjid Jaam’i , Desa Tosale di sini, Anwar Lagambok, 63, pula berkata, gempa bumi dan tsunami itu menyebabkan enam tiang masjid retak.

Katanya, kejadian gempa berlaku ketika dia sedang melaungkan azab Maghrib dengan lebih 10 jemaah berada dalam masjid.

“Saya dan jemaah hilang imbangan lalu terjatuh. Kami segera melompat keluar beranda masjid untuk menyelamatkan diri ke kawasan lapang berhampiran.

“Bencana iti turut mengakibatkan Masjid Terapung Palu yang menjadi ikon bandar ini turut dihanyutkan ke laut,” katanya.

Mangsa jadi pelarian

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menyumbang 2,000 khemah sementara dan 10 tan bekalan makanan kepada ribuan mangsa gempa bumi dan tsunami yang kini menjadi pelarian.

Ketua misi kemanusiaan itu, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, pihaknya serius membantu mangsa dengan menghantar pasukan bantuan awal ke wilayah itu sejak Selasa lalu.

“Kumpulan MAPIM yang juga pasukan bantuan Malaysia pertama tiba di sini, membuat pemerhatian bagi mengenal pasti bantuan apa diperlukan mangsa.

“Buat masa ini, sukarelawan akan menggali perigi bagi mendapatkan punca air bersih untuk kegunaan penduduk,” katanya.

Ahmad Sani berkata, pihaknya akan menghantar 10 guru, 15 doktor, 10 aktivis termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada misi berikutnya 10 Oktober ini.

“Setakat ini, MAPIM mengutip RM160,000 hasil sumbangan orang ramai sejak dua hari lalu. Kita berharap lebih ramai rakyat Malaysia prihatin turut sama menyumbang dan membantu mangsa di sini,” katanya.

Beliau berkata, situasi di sini masih kritikal dan ramai mangsa mengharapkan bantuan simpati termasuk dari Malaysia.

Setakat jam 1 petang semalam, data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, memaklumkan jumlah mangsa disahkan terkorban akibat gempa dan tsunami mencecah 1,407 orang.

Sumbangan kepada mangsa boleh disalurkan kepada MAPIM Malaysia melalui www.billplz.com/RayuanSulawesi atau melalui akaun Maybank 5582 2060 5312.

MASJID Baiturrahman di tengah Kota Palu antara kawasan teruk terjejas akibat gempa dan tsunami, Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
MASJID Baiturrahman yang terletak di tengah Bandar Kota Palu menjadi antara kawasan yang paling terjejas ketika gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter dan kejadian tsunami, Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
MASJID Baiturrahman yang terletak di tengah Bandar Kota Palu menjadi antara kawasan yang paling terjejas ketika gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter dan kejadian tsunami, Jumaat lalu. Dianggarkan seramai 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat Maghrib di masjid itu. - Foto BERNAMA
PENDUDUK melalui kawasan masjid yang rosak teruk di tengah Kota Palu. - Foto Reuters
Berita Harian X