Jumaat, 5 Oktober 2018 | 3:13pm
TUN Dr Mahathir Mohamad bercakap ketika sidang media selepas mempengerusikan mensyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Al-Bukhary. - Foto Asyraf Hamzah

Khazanah boleh labur projek kereta nasional 3.0

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak menjadi kesalahan buat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) termasuk anak syarikatnya, SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra) terbabit dalam projek kereta nasional ketiga.

Perdana Menteri berkata, jika Khazanah berminat, mereka dialu-alukan untuk melabur dalam projek itu.

“SilTerra buat mikrocip yang diguna pakai oleh motokar, kapal terbang dan roket. Semua mikrocip daripada SilTerra.

“Lagipun, Khazanah bukan kerajaan tetapi ia adalah syarikat. Jadi entiti itu bebas untuk menjalankan perniagaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di bangunan Albukhary, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dibangkitkan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mendedahkan SilTerra akan menggunakan dana awam untuk melabur dalam projek kereta nasional ketiga.

Menurut sebuah portal automotif tempatan, syarikat yang bakal terbabit dalam projek kereta nasional 3.0 itu antara yang disebut-sebut adalah SilTerra.

Memetik laporan portal itu, syarikat berkenaan yang berpusat di Taman Teknologi Kulim, Kedah menghasilkan cip semikonduktor yang digunakan pada produk Apple.

Kata laporan itu, sebuah lagi syarikat turut disebut ialah Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) berpusat di Johor, yang berkepakaran dalam penghasilan material komposit.

Projek kereta nasional 3.0 diumumkan Dr Mahathir dan kerajaan sedia melancarkan projek itu menjelang 2020.

Berita Harian X