Jumaat, 5 Oktober 2018 | 7:01pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Lapor aduan kepada badan penyiasatan - SPR

PUTRAJAYA: Pihak yang mempunyai maklumat berhubung pelanggaran mana-mana peruntukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 disaran melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata mengikut kerangka perundangan pilihan raya, suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa siasatan mahupun kuasa pendakwaan bagi kesalahan pilihan raya.

Katanya, SPR juga tidak mempunyai kuasa untuk mendenda atau menyiasat mana-mana calon pilihan raya atau parti yang diwakilinya untuk sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya terutamanya mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR ingin menekankan, kuasa siasatan mengenai sebarang tuduhan pelanggaran mana-mana peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berada dalam bidang kuasa badan penyiasatan seperti PDRM, SPRM dan SKMM.

“Justeru, SPR ingin menyarankan kepada semua pihak yang secara peribadi mempunyai sebarang maklumat mengenai pelanggaran mana-mana peruntukan mengikut akta berkenaan supaya melaporkan pelanggaran itu kepada mana-mana badan penyiasatan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR sudah menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau proses dan aktiviti berkempen sepanjang pilihan raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.

“Sekiranya PP-KPR mengesan atau menyaksikan sebarang pelanggaran peruntukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 secara peribadi atau secara langsung, SPR tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan mengenai pelanggaran itu kepada mana-mana badan penyiasatan berkenaan.

“Bagaimanapun, SPR tidak akan melaporkan mana-mana pelanggaran peruntukan perundangan yang tidak disaksikan dan dikesan secara langsung oleh PP-KPR kerana dalam keadaan sedemikian, PP-KPR tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai pelanggaran itu,” katanya.

Berita Harian X