Ahad, 7 Oktober 2018 | 8:00am

Sebak lihat mangsa masih peluk bayi

PERASAAN sebak tidak dapat dibendung Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan yang tiba paling awal ke lokasi bencana besar di kota utara Sulawesi di sini, serta menyaksikan sendiri situasi yang berlaku pada Selasa lalu.

Beliau turut berkongsi pengalamannya memasuki kawasan bencana Petobo bagi melihat proses mencari dan menyelamatkan ribuan mangsa yang terkorban di situ.

“Kebetulan ketika itu pasukan penyelamat menemui mayat seorang wanita dikenali sebagai Saparni berusia 24 tahun.

“Paling menyedihkan mangsa masih memeluk bayi perempuannya berusia lima bulan. Berdasarkan keadaannya, ibu malang itu dipercayai cuba menyelamatkan diri, namun gagal dan ditelan ‘ombak’ lumpur itu,” katanya.

Menurut beliau, mayat ibu muda itu diangkat orang ramai sebelum dipindahkan ke dalam plastik khas, manakala bayinya diletakkan sementara di atas talam.

Ditelan bumi

“Sedih berbaur simpati melihat keadaan puluhan mayat ditemui di Petobo. Ini bukan bencana biasa, masjid dan banyak sekolah agama juga hilang ditelan bumi.


ZULKIFLI sukar keluar dari Palu berikutan lapangan terbang ditutup untuk pesawat komersial, selain kesukaran mendapatkan petrol. - NSTP

“Apa yang berlaku ini cukup menginsafkan saya terhadap kebesaran Allah SWT. Saya banyak beristighfar dan memikirkan mesej yang mahu disampaikan Tuhan,” katanya yang turut tinggal sementara di kem Tentera nasional Indonesia (TNI) di Sulteng, Sulawesi Tengah.

“Saya turut merasai pengalaman menjadi pelarian mangsa gempa apabila terpaksa tinggal di pusat pemindahan itu,” katanya.

Zulkifli sukar keluar dari Palu berikutan lapangan terbang ditutup untuk pesawat komersial, selain kesukaran mendapatkan petrol.

“Keadaan amat huru-hara. Ramai warga kota ini mahu lari meninggalkan bandar kerana ketakutan selain bimbang gempa susulan lebih kuat,” katanya.

SATU kain rentang di kawasan bencana di Mamboro, Sulawesi Tengah bertulis; ‘Bangunlah saudaraku, beg mayat ini menjerit, tiada lagi mangsa, berhenti mencuri.’ - Foto AFP
TENTERA Indonesia membawa mayat mangsa ditemui di celah runtuhan perkampungan Perumnas Balaroa di Palu, semalam. - Foto AFP
Berita Harian X