Ahad, 7 Oktober 2018 | 12:18pm
TAN Sri Musa Hassan menyiram air mawar di pusara bapanya, Tan Sri Hassan Azhari di Makam Diraja Selangor, Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Ayah berhajat meninggal di Makkah - Musa Hassan

SHAH ALAM: “Arwah ada suarakan hasrat untuk pulang di tempat kelahirannya di Makkah tetapi faktor kesihatan tidak mengizinkan arwah ke sana,” kata anak kepada Tan Sri Hassan Azhari, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata, arwah sememangnya berhasrat untuk meninggal dunia dan dikebumikan di tempat kelahirannya di perkampungan Syi’ab Amir di Makkah.

“Hajat itu tidak kesampaian. Arwah ramai juga kenalan dan saudara mara di Makkah.

“Namun arwah tetap bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk melakukan sujud syukur dan itu (sujud syukur) juga antara hajat arwah sebelum meninggal dunia,” katanya ditemui pemberita di Makam Diraja Selangor di sini, hari ini.

Musa berkata, antara pesanan terakhir arwah kepada semua anak ialah sentiasa baca al-Quran, bersedekah dan tidak meninggalkan solat.

“Arwah tiada tinggalkan apa-apa kepada anaknya, cuma pesanan untuk mengamalkan tiga perkara ini sebagai jaminan untuk diredai Allah,” katanya.

Terdahulu, jenazah tokoh agama, Tan Sri Hassan, 90, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, kira-kira 9.40 pagi tadi.

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan berangkat ke pengebumian itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor; dan ratusan ahli keluarga, saudara-mara serta rakan Allahyarham.

Allahyarham ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Allahyarham mempunyai 22 anak hasil perkahwinannya dengan tiga isteri iaitu Allahyarhamah Puan Sri Sahara Abdul Samad, Maimunah Abdul Ghani dan Khadijah Yusuf

Berita Harian X