Ahad, 7 Oktober 2018 | 1:20pm
KEMENTERIAN Kesihatan mengarahkan penjualan produk ‘iceberg lettuce’ yang sebelum ini dilarang pihak berkuasa Singapura kerana dicemari bahan kimia fipronil, dihentikan serta merta.

Kementerian Kesihatan arah henti penjualan salad tercemar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengarahkan penjualan produk ‘iceberg lettuce’ yang sebelum ini dilarang pihak berkuasa Singapura kerana dicemari bahan kimia fipronil, dihentikan serta merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk yang dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh itu kini ditarik balik dari pasaran secara sukarela oleh syarikat pengeluar.

“Pengguna yang telah membeli produk berkenaan dinasihatkan supaya tidak memakannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan tindakan Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) mengarahkan produk salad keluaran Malaysia itu ditarik balik dari pasaran Singapura kerana tercemar dengan bahan kimia fipronil.

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

Pengambilannya pada paras tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

Dr Noor Hisham berkata, hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2017 sehingga Julai 2018, sebanyak 5,297 sampel sayuran dan buahan diambil di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis.

“Hasil analisis mendapati sebanyak 97 produk atau 1.8 peratus sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan,” katanya.

Seksyen 13, Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa pengeluar atau penyedia makanan yang di dalamnya terdapat bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah kesalahan dan jika disabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq

Berita Harian X