Ahad, 7 Oktober 2018 | 3:14pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyiram air mawar di pusara Tan Sri Hassan Azhari di Makam Diraja Shah Alam, pagi tadi. - Foto Sairien Nafis

Sultan Selangor zahirkan kesedihan pemergian Hassan Azhari

SHAH ALAM: Sultan Selangor menzahirkan pemergian Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari sebagai satu kehilangan besar kepada baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Allahyarham pernah menjadi guru agama kepada baginda serta amat rapat dengan Alhmarhum paduka Ayahanda dan Nenda baginda.

Titah baginda, Allahyarham juga sering mengiringi beta dan kerabat ke Makkah bagi menunaikan haji dan umrah di samping kerap menyampaikan ceramah dan mengajar ilmu agama di Istana Selangor.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham yang kembali ke Rahmatullah pada 6 Oktober 2018.

“Beta secara peribadi amat sedih kerana sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat diri baginda.

“Semoga roh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda menerusi kenyataan di laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office, di sini hari ini.

Terdahulu, tuanku sultan berkenan berangkat ke pengebumian Allahyarham di Makam Diraja Shah Alam, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam.

Allahyarham ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Allahyarham semasa hayatnya pernah dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada tahun 1986 yang membawa gelaran Datuk Seri di atas jasa dan baktinya.

Berita Harian X