Ahad, 7 Oktober 2018 | 3:54pm
DATUK Jalaluddin Hassan menyiram air mawar di pusara bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, di Makam Diraja Shah Alam. - Foto NSTP/Sairien Nafis

Bapa pernah tentang minat saya - Jalaluddin

SHAH ALAM: Pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, mengakui Allahyarham bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, tidak merestui pada awal pembabitan beliau dalam bidang lakonan.

Beliau berkata, ini kerana hasratnya itu bertentangan dengan pendirian Allahyarham bapanya itu yang disegani sebagai tokoh agama.

“Arwah pernah tentang minat (dalam bidang seni). Tentangan daripada arwah adalah kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Namun, lama-kelamaan arwah merestui minat saya selepas melihat kesungguhan saya dalam bidang seni.

“Saya jadikan kerjaya seni sebagai punca pendapatan untuk menyara keluarga. Saya buktikan kepada arwah inilah satu-satunya bakat yang saya ada, anugerah daripada Allah untuk menyara keluarga dan akhirnya beliau terima,” katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Hassan, 90, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, pada 9.40 pagi.

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan berangkat ke pengebumian itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham.

Allahyarham ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahum

Berita Harian X