Isnin, 8 Oktober 2018 | 7:18pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto NSTP

8,313 kes penipuan siber direkodkan

PUTRAJAYA: Sebanyak 8,313 kes penipuan siber membabitkan wang berjumlah kira-kira RM300 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tempoh Januari hingga 3 Oktober lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia bimbang akan peningkatan jenayah siber kerana sebanyak 10,203 kes membabitkan kira-kira RM184 juta direkodkan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, empat jenis penipuan paling banyak ketika ini membabitkan penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), pinjaman tidak wujud, 419 Scam (African Scam) dan penipuan berkaitan pembelian dalam talian.

“Hingga 3 Oktober lalu, sebanyak 3,816 kes penipuan telekomunikasi atau tipu panggilan direkod membabitkan jumlah wang kira-kira RM162.6 juta; 286 kes pinjaman tidak wujud (RM37.2 juta); 1,398 kes 419 Scam (RM80 juta) dan 2,813 kes pembelian dalam talian (RM19.5 juta).

“Jenayah siber ini termasuk penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

“Ia adalah ancaman serius terhadap rakyat kerana penipuan ini mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit hasil titik peluh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan beberapa perbincangan dengan JSJK bagi mencari kaedah memerangi jenayah berkenaan.

“Salah satu cadangan sedang dipertimbangkan ialah membentuk jawatankuasa kerja terdiri daripada wakil SKMM, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk bekerjasama dengan JSJK bagi mempercepatkan perkongsian maklumat serta memberi maklum balas serta-merta kepada orang ramai jika ada elemen penipuan dikesan.

“Selain itu, antara cadangan lain akan dipertimbangkan ialah permintaan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh supaya syarikat telekomunikasi menaik taraf sistem mereka bagi membantu pihak polis mengesan alamat Protokol Internet (IP) yang digunakan oleh ‘scammer’ atau penjenayah siber.

“Inisiatif lain sedang dijalankan sejak Mac lalu ialah pendaftaran pelanggan prabayar yang mana syarikat telekomunikasi mengemas kini pangkalan data pelanggan prabayar mereka untuk memastikan semua nombor yang aktif disahkan dan mengandungi maklumat terkini pengguna.

“Perkhidmatan nombor prabayar akan ditamatkan sekiranya pengguna gagal mengemas kini maklumat.

“Maklumat itu juga akan disemak semula dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertujuan mengeluarkan rekod pelanggan prabayar yang diragui atau ‘phantom numbers’. Ini berikutan penemuan percanggahan butiran pendaftaran oleh SKMM selepas pengesahan data dibuat menggunakan rekod JPN,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian menggesa syarikat telekomunikasi supaya bekerjasama dengan pihak penguat kuasa dalam memberi sebarang bantuan yang mereka perlukan ke arah mencegah dan memerangi jenayah itu.

“Kementerian juga akan meningkatkan usaha mendidik dan memaklumkan orang ramai mengenai penipuan ini melalui pengumuman khidmat awam (PSA) dalam radio, televisyen serta bentuk media lain bagi memastikan mereka mengetahui dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa.

“Langkah lain akan dilihat termasuk mengetatkan peraturan bagi meluaskan skop dan meningkatkan penguatkuasaan. Diharap semua inisiatif ini akan mewujudkan kesedaran mengenai jenayah siber dan mengurangkan kejadian penipuan,” katanya.

Berita Harian X