Selasa, 9 Oktober 2018 | 12:19pm

Lembaga Peperiksaan nafi kebocoran kertas PT3

PUTRAJAYA: Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan menafikan berita mengenai kebocoran empat kertas ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu sebagaimana tular di media sosial, baru-baru ini.

Justeru, Lembaga Peperiksaan menerusi kenyataan hari ini, menjelaskan berita kebocoran kertas itu tidak benar dan tiada keperluan untuk calon menduduki semula kertas berkenaan.

Baru-baru ini, tersebar berita mengenai kebocoran empat kertas berkenaan di mana calon dikehendaki menduduki semula.

Menurutnya, tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula kertas yang dinyatakan kerana PT3 dilaksanakan secara Pentaksiran Pusat.

“Ibu bapa serta penjaga dan murid tidak perlu bimbang berkaitan perkara ini.

“Pihak sekolah sudah melaksanakan PT3 berdasarkan garis panduan yang diberikan oleh Lembaga Peperiksaan dengan penyeliaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Ujian bertulis PT3 dijalankan serentak di seluruh negara dari 1 hingga 4 Oktober lalu.

Berita Harian X