Selasa, 9 Oktober 2018 | 5:15pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia akan terus bantu mangsa bencana di Palu

JAKARTA: Usaha membantu rakyat Indonesia yang terjejas akibat bencana gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah antara perkara yang dibincangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pada pertemuan rasmi pertama mereka, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat dan kerajaan Malaysia bersimpati dan akan terus membantu meringankan beban mangsa.

“Kita akan membantu meringankan beban mangsa selepas (gempa bumi) berlaku di Lombok (sebelum ini).

“Bantuan sudah kita tawarkan dan diterima oleh kerajaan Indonesia. Kita beri pesawat A400M untuk penghantaran tangki minyak ke Balikpapan sebelum diangkut ke Palu,” katanya ketika ditemui media di Pejabat Naib Presiden Indonesia di sini, hari ini.

Ini adalah lawatan pertama beliau ke Indonesia sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei lalu.

Dr Wan Azizah berkata, Malaysia turut menghantar bekalan bantuan menerusi pesawat C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Palu.

“Selain itu, kerajaan Malaysia turut menyampaikan sumbangan kewangan dan melancarkan tabung bencana bagi membantu mangsa,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan turut terarah kepada usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia dan Indonesia selaku negara serumpun jiran ASEAN.

Berita Harian X