Rabu, 10 Oktober 2018 | 9:03pm
ANGGOTA bomba memantau keadaan air laut di jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Nelayan Telok Gong, hari ini. - Foto BERNAMA
ANGGOTA bomba memantau keadaan air laut di jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Nelayan Telok Gong, hari ini. - Foto BERNAMA

Air pasang besar perkara biasa tapi perlu waspada

KUALA LUMPUR : Orang ramai tidak perlu terlalu risau tetapi harus berwaspada terhadap fenomena air pasang besar lantaran ia berlaku dua kali sebulan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari, berkata kejadian air pasang besar adalah fenomena biasa kerana ia dipengaruhi daya graviti matahari dan bulan yang menjadi penentu utama kepada proses pasang surut air laut.

Secara umum, katanya, air pasang berlaku dua kali setiap bulan apabila posisi bumi selari dengan matahari dan bulan yang kebiasaannya bertepatan dengan tarikh 1 dan 15 haribulan dalam kalendar.

“Namun, insiden air pasang besar boleh berlaku akibat faktor tambahan termasuk kadar hujan lebat kerana peralihan monsun Barat Daya ke Timur Laut yang dijangka berlarutan hingga November.

“Angin kuat serta hujan lebat sewaktu kejadian turut mengakibatkan ketinggian ombak meningkat dan pada masa yang sama, paras air sungai melimpah akibat hujan yang berlaku.

“Apabila air sungai semakin tinggi dan keadaan laut bergelora maka air pasang tinggi melebihi paras biasa, air mula melimpah lalu mengakibatkan banjir kilat.

“Keadaan lebih buruk apabila air yang kuat dan banyak menyebabkan ban pecah, sekali gus menjadikan air lambat surut,” katanya mengulas mengenai fenomena air pasang besar di sini, hari ini.

BH melaporkan sebanyak 10 lokasi dikenal pasti berisiko dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar di Klang bermula dari sempadan Kuala Selangor hingga ke sempadan Kuala Langat iaitu Pangkalan Tok Muda; ban Sementa; ban Sungai Keramat Batu 5, Kapar; Jalan Pandamaran; Taman Selat Damai; Pelabuhan Klang; Jeti Nelayan Kampung Perepat; Pulau Ketam; Telok Gong dan ban Sungai Serdang.

Sementara itu, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam keadaan persediaan peringkat tinggi kerana berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Alui, berkata antara kawasan kerap mengalami fenomena ini ialah negeri sekitar Selat Melaka seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, dengan keadaan laut tertutup berbanding Timur Laut yang berkeadaan laut lepas.

Lantaran air pasang besar disifatkan sebagai fenomena biasa, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap perubahan semasa, khususnya di fasa anak bulan dan bulan mengambang.

“Ikuti perkembangan terkini termasuk amaran dikeluarkan pihak berkaitan,” katanya.

Berita Harian X