Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:01am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bergambar bersama mahasiswa pada sesi Dialog Menteri: Rahmatan Lil Alamin bersama pelajar Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Saya bukan cari kontroversi - Mujahid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui tidak pernah mencari kontroversi selepas memegang jawatan menjaga portfolio hal ehwal agama Islam.

Katanya, beliau sebaliknya hanya membawa gagasan atau konsep yang diteraskan dalam al-Quran mengenai Rahmatan Lil Alamin.

“Apabila menjawat jawatan ini, saya meletakkan tiga kerangka utama dalam pentadbiran iaitu konsep Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan kaedah fiqh Malaysia.

“Sebab itu saya penuh dengan kontroversi kerana untuk menzahirkannya saya terpaksa mencabar amalan yang sudah lama diamalkan tapi saya mempunyai gagasan dan perjuangan besar yang ingin dibawa.

“Jadi, saya tidak boleh duduk diam dan terpaksa berdepan untuk mengubah persepsi,” katanya pada sesi Dialog Menteri: Rahmatan Lil Alamin bersama pelajar Universiti Malaya (UM) di sini, malam ini.

Sepanjang menjawat jawatan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam, Mujahid berdepan beberapa kontroversi, antaranya membabitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) hasil pertemuan dengan aktivis, Nisha Ayub.

Kemudiannya isu dengan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan terbaru kontroversi membabitkan penguatkuasaan khalwat.

Mujahid berkata, beliau menggunakan pendekatan Rahmatan Lil Alamin dalam menyelesaikan masalah yang timbul termasuklah usaha menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan kes khalwat.

Dalam sesi dialog yang dihadiri lebih 300 pelajar UM itu, Mujahid turut menjawab beberapa soalan yang diajukan.

Antaranya mengenai sama ada konsep Rahmatan Lil Alamin hanyalah dasar baharu daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding dasar Islam terdahulu seperti Islam Hadhari dan Wasatiyyah, Mujahid mengakui dasar Islam yang dibawa oleh kerajaan terdahulu adalah dasar yang bagus.

“Dasar Rahmat Lil Alamin ini adalah perjalanan untuk menyempurnakan gagasan yang ada sebelum ini, malah ijtihad Rahmatan Lil Alamin ini juga lebih besar berbanding gagasan Wasatiyyah yang dibawa oleh kerajaan terdahulu.

“Saya juga tidak boleh nafikan bahawa, dasar Islam yang dibawa oleh kerajaan terdahulu ada yang baik seperti Dasar Tahfiz, yang mana akan diteruskan,” katanya.

Berita Harian X