Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:35pm
GAMBAR fail, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran. - Foto Sairien Nafis

Hukuman mati: MP pembangkang, senator usah sabotaj pula

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk menghapuskan pelaksanaan hukuman mati mandatori bersandarkan prinsip kemanusiaan diharap tidak disabotaj pembangkang yang ketika ini mempelopori kuasa Dewan Negara.

Jurucakap Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (MADPET), Charles Hector Fernandez, ketika menyuarakan pendirian itu berkata janji atau jaminan sama pernah diusulkan pentadbiran terdahulu, namun ia akhirnya mengundang kekecewaan dalam kalangan masyarakat dan aktivis apabila gagal ditepati.

Sehubungan itu, katanya, MADPET berharap ahli Parlimen dan Senator daripada blok pembangkang akan memberikan sokongan penuh terhadap keputusan yang adil oleh kerajaan ketika membentangkan usul untuk menghapuskan hukuman mati mandatori.

“Oleh itu, kami harap usul menghapuskan hukuman mati mandatori ini dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, mulai 15 Oktober ini, sekurang-kurangnya untuk bacaan kali pertama sekiranya tiada masa mencukupi bagi perbahasan dan diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Persidangan Dewan Negara, pada 12 September lalu, melakar kejutan apabila menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang sebelum itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos lalu selepas bacaan kali ketiga.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran, selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam dilaporkan berkata pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan pengumuman itu, katanya, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, Fernandez menyifatkan pengumuman itu ialah khabar gembira untuk waris dan ahli keluarga kira-kira 1,267 banduan yang ketika ini menanti hukuman mati mandatori.

“Perangkaan yang mewakili 2.7 peratus daripada keseluruhan 60,000 banduan ini akhirnya tidak akan digantung, justeru ahli keluarga dan ibu bapanya berupaya menarik nafas lega kerana mereka masih diberikan peluang untuk meneruskan hidup.

Berita Harian X