Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:54pm
Timbalan Ketua Setiausaha Sains,Teknologi dan Inovasi (STI) MESTECC, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Datuk Dr. Mashitah Mohd Yusoff (dua kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari (kanan) melancarkan buku ' Disasters in Malaysia ' pada Forum Iklim Kebangsaan ' Monsun Timur Laut 2018/2019 ' di Dewan Astaka,UMP Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Timbalan Ketua Setiausaha Sains,Teknologi dan Inovasi (STI) MESTECC, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Datuk Dr. Mashitah Mohd Yusoff (dua kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari (kanan) melancarkan buku ' Disasters in Malaysia ' pada Forum Iklim Kebangsaan ' Monsun Timur Laut 2018/2019 ' di Dewan Astaka,UMP Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Hujan lebat dijangka sepanjang Monsun Timur Laut

KUANTAN: Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan terdapat antara empat hingga enam episod hujan lebat berlaku sepanjang Monsun Timur Laut bermula awal bulan November hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, episod hujan itu bagaimana pun tidak akan mengakibatkan banjir besar di Pantai Timur Semenanjung berdasarkan data yang mereka ada ketika ini.

"Jumlah taburan hujan akan meningkat pada minggu pertama bulan November dan biasanya negeri Kelantan dan Terengganu akan mula-mula terjejas (banjir) sebelum diikuti negeri Pahang dan sebahagian Johor antara bulan Disember dan Januari. Monsun ini seterusnya akan ke Sabah dan Sarawak Januari hingga Mac.

"Jika arah tiupan angin ketika Monsun Timur Laut ini menghala ke arah pantai bersama fenomena air pasang besar, keadaan banjir mungkin berpotensi untuk menjadi lebih buruk.

"Buat masa ini, kita (Jabatan Meteorologi Malaysia) menjangkakan banjir tahun ini tidaklah seteruk tahun-tahun sebelumnya, mungkin keadaannya sama macam tahun lalu," katanya pada media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2018: Monsun Timur Laut 2018/1/2019 di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP), dekat sini, hari ini.

Forum dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Prof Madya Dr Ramzah Dambul.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP, Dr Mohamad Idris Ali.

Episod hujan itu merujuk kepada amaran tahap kuning, merah dan jingga yang biasanya dikeluarkan pihak Jabatan Meteorologi setiap kali musim tengkujuh melanda Pantai Timur Semenanjung.

Amaran tahap kuning adalah sebagai peringatan bahawa berlaku keadaan hujan sederhana lebat dan berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan rendah; tahap merah pula merujuk kepada hujan lebat dan berterusan untuk satu tempoh tertentu; manakala bagi tahap jingga pula merujuk kepada hujan yang sangat lebat bersama tiupan angin kencang yang boleh mengakibatkan banjir besar.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir kilat dan fenomena air pasang besar di Johor Bahru, Johor dan sebahagian negeri Selangor semalam, Alui berkata, ia adalah antara kesan peralihan monsun yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga musim Monsun Timur Laut bermula bulan depan.

"Taburan hujan dan arah tiupan angin banyak mempengaruhi kejadian banjir kilat di negeri sebelah Barat Daya Semenanjung. Fenomena air pasang besar memang berlaku dan kita kena bersedia juga sebab ia terjadi dua kali dalam sebulan.

"Kalau ketika air pasang (besar) dan pada masa yang sama berlaku hujan lebat serta bertembung dengan tiupan angin kencang, memang akan berlaku banjir kilat akibat limpahan air sungai," katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai memuatnaik aplikasi MyCuaca yang dibangunkan jabatan berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca, selain kejadian gempa bumi dan amaran tsunami.

Katanya, setakat ini kira-kira 80,000 pengguna telefon mudah alih sudah menggunakan aplikasi berkenaan dan berharap ia dapat membantu mereka merancang pergerakan mereka setiap kali berlaku bencana alam, terutamanya banjir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X