Sabtu, 13 Oktober 2018 | 12:12pm

Kasut hitam wajib 2021

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pemakaian kasut hitam untuk murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.

Kementerian Pendidikan menjelaskan keputusan berkenaan diambil selepas mempertimbangkan pandangan semua pihak berkepentingan, merangkumi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid, pentadbir sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan pembekal.

“Kementerian bersetuju pemakaian kasut hitam perlu dilaksanakan secara beransur-ansur mulai sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaannya pada 2020.


DR Maszlee Malik bersama-sama murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, Kedah - Foto hiasan/BERNAMA

“Dalam tempoh peralihan itu, murid masih dibenarkan untuk memakai kasut putih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada 29 Julai lalu, dilaporkan berkata murid sekolah rendah dan menengah akan memakai kasut hitam mulai 2019 susulan keluhan daripada ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.

Katanya, langkah itu berupaya membantu menceriakan pelajar, terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah.


Ibu bapa tidak perlu tergesa-gesa menyediakan anak mereka dengan pemakaian kasut hitam - Foto NSTP/Faris Zainuldin

Mengulas lanjut, kementerian dalam kenyataan sama menegah pihak sekolah daripada mengadakan peraturan atau memaksa murid untuk memakai kasut hitam sepanjang tempoh peralihan dua tahun berkenaan.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menyediakan anak mereka dengan pemakaian kasut hitam kerana mempunyai pilihan antara dua warna sehingga 2020,” katanya.

Berita Harian X