Ahad, 14 Oktober 2018 | 9:51am

Remaja 14 tahun dinobat juara seni tarian di China

KUANTAN: Kecederaan kaki dialami ketika bergiat cergas dalam sukan gimnastik kira-kira empat tahun lalu sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada dirinya selepas disahkan terpaksa meninggalkan sukan itu buat selamanya.

Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat Sharifah Nur Syafina Idid Syed Azalan Idid, 14, untuk kembali bangkit dan mencipta kejayaan dalam bidang seni tarian.

Remaja kelahiran Kuantan itu mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia pertama diangkat selaku juara dalam Majlis Pertukaran Kebudayaan Antarabangsa Belia China 2018 yang berlangsung di Chongqing, China pada 1 hingga 5 Oktober lalu.

Dalam majlis itu, Sharifah Nur Syafina mempersembahkan seni tarian tradisional secara solo dengan membawa watak Srikandi Mantera Semerah Padi dan Srikandi Tualang Tiga sebelum mengungguli kejohanan yang disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa.

Ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, remaja yang selesa disapa Fifi itu memberitahu beliau mula membabitkan diri secara serius dalam bidang seni tarian sejak berusia 10 tahun.

“Selepas saya mendapat kecederaan dan tidak boleh berlatih gimnastik, saya ambil keputusan untuk bergiat cergas dalam dunia seni tarian.

“Berkat sokongan dan dorongan keluarga saya berjaya meraih beberapa anugerah serta memenangi pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu turut berkongsi pengalaman sepanjang menjalani latihan di studio Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya Kuantan Pahang, sejak empat bulan lalu, di mana disiplin diri yang tinggi diutamakan.

Kata Sharifah, beliau akan mencari masa untuk ke studio latihan selepas tamat sesi persekolahan dan meluangkan masa sejam untuk berguru dengan dua jurulatih tempatan iaitu Bonny Lee dan Joan Low.

“Dua jurulatih ini yang banyak memberi tunjuk ajar dan melatih saya sepanjang empat bulan lalu. Memang mencabar kerana pergerakan dalam tarian ini saya perlu serasikan dengan pelbagai teknik seperti akrobatik,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Tengku Afzan, Kuantan itu memaklumkan perkara yang paling sukar untuk dilakukannya dalam dua tarian dibawa adalah membuat riak wajah dan ekspresi muka yang betul mengikut watak dibawa.

Katanya, beliau perlu menjiwai watak srikandi Melayu yang mahir bersilat serta gagah dan perlu diterjemahkan dalam tarian selama empat minit.

“Kekuatan stamina dan ketenangan di atas pentas perlu ada kerana saya membawakan persembahan selama empat minit yang cukup bertenaga sambil diiring muzik.

“Sebelum menyertai pertandingan ini saya tidak letak harapan yang tinggi atau untuk memenanginya, saya cuma ingin buat yang terbaik...Alhamdulillah rezeki saya dipilih juri,” katanya.

Majlis Pertukaran Kebudayaan Antarabangsa Belia China 2018 adalah acara tahunan yang menghimpunkan bakat seni belia dari seluruh pelusuk antarabangsa yang diadili juri profesional.

Sementara itu, ibu Fifi, Satira Abdullah, 48, dia tidak kisah menghabiskan wang dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memenuhi minat anak perempuannya itu.

Dia berharap, kejayaan anaknya itu akan menjadi ikutan dan inspirasi remaja lain di Malaysia untuk mencipta nama di persada antarabangsa.

“Buat masa ini seni tarian yang dibawa Fifi belum popular di negara ini, selain tarian tradisional Fifi juga mahir beraksi dalam seni tarian Cosplay (pakaian diperagakan watak Anime) dan pernah dijemput membuat beberapa persembahan,” katanya.

Sharifah Nur Syafina Idid (kiri) dan ibunya Satira Abdullah bersama piala dan sijil yang dimenanginya di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa menerusi pertandingan tarian. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X