Ahad, 14 Oktober 2018 | 4:44pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahma. - Foto Mohd Fadli Hamzah

1 dalam 10 belia mahu bunuh diri - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Katanya, statistik berkenaan membuktikan isu kesihatan mental di Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda amat serius dan perlu ditangani secara berkesan oleh semua pihak.

Bagaimanapun, katanya, isu kesihatan mental kurang mendapat perhatian di negara ini kerana ia menjadi ‘taboo’ (larangan) dalam kalangan masyarakat, menyebabkan mereka yang berhadapan masalah mental tidak mendapat rawatan.

Tambah beliau, isu kesihatan mental biasanya begitu mudah diketepikan dan dipandang remeh, sama seperti isu buli manakala luahan masalah oleh mereka yang mengalaminya biasanya diabaikan.

“Jika berterusan diabaikan, mereka akan terus tertekan dan apabila sudah terlewat, baru kita sedar kegagalan membantu pada peringkat awal membawa pada keadaan yang tidak kita inginkan.

“Dalam isu ini, semua pihak ada peranan, khususnya ibu bapa perlu cakna masalah anak-anak dan jangan takut untuk hubungi pakar psikiatri atau lihat isu ini sebagai ‘taboo’.

“Jika anak yang berhadapan masalah mental takut untuk berkongsi penderitaan mereka pada ibu bapa, sudah pasti lebih sukar untuk mereka berkongsi dengan rakan atau pihak lain,” katanya ketika berucap merasmikan program ‘Young Minds, Take Charge’ di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Prof Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Syed Saddiq turut berkongsi pengalaman apabila rakan baiknya yang juga seorang pelajar cemerlang, tetapi tidak terkecuali daripada berdepan masalah tekanan dan pernah terfikir untuk membunuh diri.

“Pada peringkat awal, kami tak sedar pun dia murung, apabila jumpa senyum serta ketawa seperti biasa, dan pandangan berkaitan dengan masalahnya pula kami anggap perkara biasa.

“Bagaimanapun, sedikit demi sedikit kemurungan itu semakin teruk dan apabila sudah terlewat, hanya bunuh diri dilihat sebagai jalan untuknya,” katanya.

Syed Saddiq berkata, ‘taboo’ dalam membincangkan isu kesihatan mental perlu dipecahkan dan stigma negatif serta konotasi negatif daripada perkataan mental dalam kalangan masyarakat perlu dihentikan.

“Di Kementerian Belia dan Sukan sendiri ada satu bilik khas untuk kakitangan yang berhadapan masalah kesihatan mental untuk menjalani terapi.

“Semua kementerian perlu memandang serius isu ini, malah ibu bapa, masyarakat dan majikan ada peranan yang perlu dimainkan kerana cara kita menguruskan isu kesihatan mental, terutama bagi golongan muda, menentukan keadaan masa depan negara,” katanya.

Berita Harian X