Isnin, 15 Oktober 2018 | 5:49pm
PRESIDEN Majlis Peguam, George Varughese. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Timbang keseriusan kes sebelum penjara seumur hidup

KUALA LUMPUR: Mahkamah perlu mengambil kira faktor keseriusan kesalahan sebelum menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese, berkata tindakan itu perlu diambil bagi memastikan hukuman yang dijatuhkan adalah adil dan efektif.

Beliau berkata, bagi menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup, hukuman seharusnya setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Malah mahkamah juga perlu mengambil kira faktor mitigasi dalam setiap kes antaranya umur pesalah, rekod lampau, peranan yang dimainkan, kerjasama diberi dan keinsafan tertuduh.

“Hanya selepas mengambil kira semua faktor mitigasi tertuduh, barulah hukuman yang dijatuhkan adalah adil dan efektif,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, Majlis Peguam dari dulu secara konsisten sudah menzahirkan hasrat untuk memansuhkan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Datuk Hariharan Tara Singh, berkata beliau turut menyokong pelaksanaan pemansuhan hukuman mati dan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan pertimbangan asas, individu yang sudah menjalani hukuman penjara 30 tahun, berkemungkinan tidak akan mengulangi kesalahannya disebabkan faktor umur.

“Hidup seseorang akan menjadi lebih bernilai sekiranya ia diambil kira dan perlu menjalani hukuman pemenjaraan yang lama.

“Dengan itu, semakin negara kita membangun, pelaksanaan hukuman mati seharusnya dimansuhkan secara perlahan-lahan.

“Malah, sejak 2014 tiada lagi pelaksanaan hukuman mati dijalankan, oleh itu, ia seharusnya dimansuhkan,” katanya.

Berita Harian X