Isnin, 15 Oktober 2018 | 6:13pm
KETUA Unit Undang-undang UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Hafiz Soahaimi

'Jangan sampai ganggu tugas agensi keselamatan'

KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati mandatori masih memerlukan kajian menyeluruh kerana dikhuatiri akan mengganggu tugas agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Unit Undang-undang UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pemansuhan itu dikhuatiri akan menjadi galakan kepada pelaku untuk terus bergelumang dalam kegiatan jenayah.

“Kita kena buat kajian yang betul dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PDRM dan Jabatan Penjara kalau hendak menjadikan hukuman itu sebagai satu pencegahan.

“Soal ada bantahan daripada agensi keselamatan, itu saya rasa mereka melihatnya sebagai satu gangguan kepada mereka untuk menjalankan tugas. Seolah-olah galakan (melakukan jenayah) jika dimansuhkan,” katanya kepada NSTP di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan akan mengenakan hukuman penjara 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan selepas ini.

Cadangan itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong semalam.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata hukuman mati mandatori mungkin sesuai dikenakan terhadap kesalahan membabitkan dadah atau penjenayah yang didakwa berulang kali di mahkamah atas kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati

Katanya, kerajaan juga perlu mencari hukuman alternatif yang sesuai supaya ia dapat menjadi satu aspek utama pencegahan manusia daripada melakukan jenayah.

“Soalnya, jika tidak dihukum mati mandatori, hukuman apa hendak dikenakan. Ada negara mengenakan hukuman penjara seumur hidup, tetapi itu pun kena dikaji.

“Pemansuhan hukuman itu sewajarnya tidak memberi impak negatif kepada masyarakat kerana ia membabitkan kepentingan mereka,” katanya.

Berita Harian X