Selasa, 16 Oktober 2018 | 12:10pm
LIEW Vui Keong

Mansuh hukuman mati tidak retrospektif

KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati yang akan dilaksanakan kerajaan tidak mempunyai kesan retrospektif atau mengambil kira rekod pemenjaraan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata keputusan sama ada seorang banduan bakal menjalani penjara seumur hidup atau seumur hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati akan ditentukan Lembaga Pengampunan.

“Contohnya jika hukuman mati dimansuhkan dan lembaga memutuskan bahawa seorang banduan diberikan pertimbangan alternatif penjara seumur hidup, maka dia perlu jalani hukuman dengan tempoh minimum 30 tahun, mulai hari ini, tidak mengambil kira tempoh sebelum itu.

“Kesan retrospektif adalah tidak adil pada mereka yang menjadi mangsa kes bunuh, terutama keluarga,” katanya ketika menjawab soalan tambahan P Kasthuriraani (PH DAP-Batu Kawan) pada waktu pertanyaan menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Kasthuriraani membangkitkan persoalan sama ada pertimbangan kerajaan untuk menghapuskan pelaksanaan hukuman mati, bersandarkan prinsip kemanusiaan akan mempunyai kesan retrospektif atau retroaktif.

Menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN MCA-Ayer Hitam) yang menyifatkan langkah pemansuhan itu sebagai tergesa-gesa, selain kesudian kerajaan membentuk Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi meneliti isu terbabit, Vui Keong berkata, kerajaan mempunyai alasan bersandarkan kajian untuk menggantikan hukuman mati mandatori.

Katanya, hasil penelitian Pusat Pengajian Perundangan Antarabangsa (I-CeLLS), iaitu organisasi naungan Jabatan Peguam Negara mengemukakan tiga justifikasi berhubung langkah pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia.

“Kajian itu mendapati hukuman mati bukan pencegahan berkesan, sebaliknya faktor berkenaan sukar dipastikan kerana banyak perkara yang boleh mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah.

“Hukuman mati tidak boleh diperbaiki atau dipulihkan susulan wujud kes orang yang dituduh disabitkan dengan kesalahan bunuh berdasarkan keterangan palsu diberikan saksi utama.

“Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan kerana keterangan palsu, kes ini menunjukkan orang yang tidak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Justifikasi terakhir ialah hukuman gantung ini bercanggah dengan norma hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Vui Keong memberi jaminan pemansuhan hukuman mati yang dilaksanakan 142 negara di seluruh dunia, termasuk Jerman, United Kingdom dan Belgium, bukan isyarat bahawa pelaku jenayah serta didapati bersalah akan dibebaskan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu menjalani hukuman penjara setimpal.

Berita Harian X