Rabu, 17 Oktober 2018 | 11:49am
TAKLIMAT keselamatan yang diberikan oleh Khairil Anuar Khalid kepada pasukan.

MRA hantar kumpulan perubatan ke Palu

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perubatan Malaysian Relief Agency (MRA) terdiri daripada enam ahli yang berpengalaman dalam bidang bantuan kemanusiaan khususnya perubatan di lapangan bencana, memulakan misi mereka ke kota Palu, Sulawesi Selatan, Indonesia, semalam.

Mereka tiba di Palu jam 8.30 pagi selepas menempuhi perjalanan selama 12 jam.

Timbalan Presiden MRA, Khairil Anuar Khalid berkata, sejak 2 Oktober lalu pihaknya sudah memulakan misi bantuan kecemasan kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di kota Palu dengan memberikan bantuan makanan asas dan air bersih kepada mangsa.

“Kumpulan yang kita hantar adalah kumpulan perubatan yang akan memberikan bantuan awal kesihatan kepada mangsa dan akan disusuli dengan pakar perubatan secara berperingkat dari MRA.

“Dalam masa sama sebuah pusat rawatan trauma kanak-kanak dan wanita MRA sudah siap untuk beroperasi di Palu Selatan,” katanya yang turut serta menghantar ahli misi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Menurut laporan Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan dan pengurusan bencana ASEAN (AHA Centre) di Jakarta, sehingga hari ini seramai 2,100 mangsa gempa dan tsunami Sulawesi Tengah disahkan meninggal dunia.

Seramai 78,994 mangsa gempa bumi hilang tempat tinggal dan 20 hospital serta pusat kesihatan hancur akibat bencana, menyebabkan kebanyakan mangsa sukar mendapat bantuan perubatan.

Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Sulawesi MRA boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 013-455 7020 (Mohd Fadhil Baharudin) atau 03-9174 4672 (Pejabat MRA).

Berita Harian X