X
Khamis, 18 Oktober 2018 | 4:54pm
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 1/2018 di Bangunan Parlimen. Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kanan). - Foto Asyraf Hamzah
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 1/2018 di Bangunan Parlimen. Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kanan). - Foto Asyraf Hamzah

UIAM mansuh peraturan sekat mahasiswa berpolitik

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah memansuhkan beberapa peraturan yang bersifat mengekang kebebasan pelajarnya untuk terbabit dalam politik.

Menteri Pendidikan yang juga Presiden UIAM, Dr Maszlee Malik, berkata pemansuhan peraturan itu dibuat tanpa menunggu pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kerana UIAM tidak terikat dengan undang-undang berkenaan.

“Bagi UIAM yang tidak terikat dengan AUKU, kita sudah memansuhkan beberapa peraturan yang mengekang kebebasan pelajar berpolitik, yang diputuskan dalam mesyuarat pertama.

“Kita juga akan usulkan pemansuhan beberapa seksyen dalam AUKU Akta 555 dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555), yang akan dibentangkan di Parlimen pada Disember nanti.

“Usaha itu akan memansuhkan seksyen yang mengekang kebebasan pelajar dan ahli akademik di universiti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2018 di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada jawatankuasa berkenaan akan turut meneliti kemungkinan memansuhkan AUKU dalam kajian penambahbaikan dasar pendidikan negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Sebelum ini, pelantikan Maszlee sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada bulan lalu, menimbulkan polemik kerana dikatakan mencetuskan konflik kepentingan, selain menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan universiti itu daripada pengaruh politik.

Selasa lalu, Maszlee dilaporkan berkata akan membentangkan pindaan beberapa perkara dalam AUKU, antaranya kebebasan pelajar berpolitik, pengawalan pihak universiti terhadap kegiatan pelajar dan membolehkan setiap universiti menubuhkan kesatuan pelajar.

Pakatan Harapan (PH) menerusi manifestonya, meletakkan janji untuk memansuhkan AUKU sebagai sebahagian daripada iltizam untuk memberikan peluang pendidikan berkualiti.

Berita Harian X