Khamis, 18 Oktober 2018 | 5:12pm
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali (duduk tiga dari kanan) pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama pengusaha bas di seluruh negara, di Kota Kinabalu. - Foto Suzianah Jiffar

Bantuan ISBSF perlu disegerakan kepada pengusaha bas

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) berharap pembayaran bantuan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) kepada pengusaha bas di seluruh negara, disegerakan.

Ini susulan tiada dana diberikan kepada ahli persatuan itu sejak Februari lalu bagi Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak kini mencecah 13 bulan, sejak September tahun lalu.

Sehubungan itu Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berharap kerajaan akan membantu untuk mempercepatkan pembayaran dana itu.

“Bagaimanapun, pada masa kini pembayaran agak perlahan dengan pembayaran terakhir untuk syarikat bas di Semenanjung adalah pada Februari lalu manakala di Sabah dan Sarawak pada September tahun lalu.

“Keadaan ini agak membebankan pengusaha syarikat bas kerana mereka perlu membayar gaji pekerja dan pembiayaan lain seperti insuran dan cukai jalan. Saya difahamkan ada antara pengusaha syarikat yang menjual aset termasuk barang kemas untuk membayar gaji pekerja.

“Oleh itu saya berharap isu ini akan diberi keutamaan kerana bimbang jika ia dibiarkan, saya takut ramai ahli kami tidak dapat beroperasi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden PMBOA yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Omnibus Sabah, David M Chu dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengangkutan Bas Sarawak, William Chan.

Kerajaan mewujudkan ISBSF pada 2011 dan mula operasinya pada Januari 2012, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas dan menggalakkan rakyat untuk menggunakan bas sebagai mod pengangkutan yang berkesan.

Mengulas lanjut Mohamad Ashfar berkata masih ramai yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas untuk ke tempat kerja, sekolah atau pasar setiap hari.

“Sebab itu kita minta kepada kerajaan hari ini untuk membantu... kita tahu kerajaan pun ada masalah, namun kami pun ada masalah besar juga. Saya bimbang ramai ahli tidak akan dapat beroperasi nanti.

“Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu menangani masalah ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga meminta kerajaan untuk mengambil tindakan tegas kepada pengusaha kenderaan yang beroperasi secara haram di negara ini, khususnya di Sabah.

“Ini penting kerana jika tidak ia akan menjejaskan pendapatan pengusaha kenderaan yang beroperasi sah,” katanya.

Berita Harian X