Jumaat, 19 Oktober 2018 | 12:56pm
Antara koleksi siri setem khas Hari Pemasyhuran Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah ke-29 yang boleh didapati di Pos Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Setem khas pemasyhuran Sultan Kedah

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal mengeluarkan koleksi siri setem khas sempena pemasyhuran Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 22 Oktober ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah, berkata pihaknya mengeluarkan tiga rekaan untuk koleksi istimewa itu termasuk produk filateli iaitu sampul surat hari pertama, lembaran mini serta folder.

“Tiga reka bentuk setem yang dikeluarkan menampilkan imej Sultan Kedah mengenakan pakaian sikap, pakaian tentera dan pakaian kebangsaan.

“Koleksi terbaru ini amat istimewa kerana setem dicetak bersaiz 30milimeter (mm) x 50mm berbanding saiz biasa.

Ketua Unit Setem dan Filateli Diyana Lean Abdullah (kanan) dan kakitangan Pos Malaysia Elia Mastura Abdul Jamil menunjukkan setem khas sempena Hari Pemasyhuran Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah ke-29 ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Pos Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Kakitangan Pos Malaysia Elia Mastura Abdul Jamil menunjukkan siri setem dan sampul khas sempena Hari Pemasyhuran Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah ke-29 di Ibu Pejabat Pos Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

“Setiap rekaan bernilai 60 sen,” katanya kepada media ketika memperkenalkan koleksi terbaru itu di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini, hari ini.

Diyana Lean berkata lembaran mini yang menampilkan Sultan dan Sultanah Kedah berpakaian songket kuning berlatarbelakangkan Singgahsana Istana Anak Bukit Alor Setar bernilai RM5 setiap satu.

“Pada masa sama, alat kebesaran Sultan Kedah turut menghiasi lembaran mini dan teknik cetakan metalik emas diaplikasikan pada lembaran mini itu,” katanya.

Beliau berkata, sampul hari pertama yang berharga 50 sen manakala folder RM6 dan siri kali ini akan diserikan dengan imej jata pertabalan sebagai cap tarikh, berbanding kebiasaan.

“Kita mengeluarkan 230,000 keping setem untuk setiap rekaan, 25,000 keping lembaran mini, 33,000 keping sampul hari pertama dan 3,300 folder.

“Ini adalah koleksi terhad dan tidak akan diulang cetak, jadi pengumpul digalakkan mendapatkannya segera sebelum kehabisan bermula 22 Oktober ini kecuali Kedah yang akan mula dijual pada 23 Oktober,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X